Skip to main
Logo Malaysiakini

Timb Speaker puji Parlimen Digital, cadang k'jaan pertimbang usul secara serius

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Rashid Hasnon menyuarakan sokongannya terhadap inisiatif Parlimen Digital.

Dalam satu kenyataan hari ini, dia mengatakan bahawa inisiatif itu menunjukkan anak muda cakna dalam isu-isu semasa dan mampu berhujah dengan kemas dan tertib dalam suasana digital yang canggih.

"Selaku Timbalan Yang Di-Pertua Dewan Rakyat, saya menyokong penuh sekiranya Parlimen Digital ini diperluaskan pula di peringkat DUN dan program-program makro berkaitan boleh dilaksanakan.

"Sekali lagi, saya ingin mengucapkan syabas kepada pihak penganjur Parlimen Digital yang membuktikan bahawa Malaysia mampu melakukan apa saja dengan baik dan merubah landskap ke arah pendigitalan parlimen gaya baharu selari dengan perkembangan teknologi.

"Saya juga berharap agar usaha murni ini terus diangkat sebagai medan yang lebih mantap dalam membawa lebih ramai suara anak muda di peringkat nasional," katanya.

Malah Rashid dalam kenyataan sama mencadangkan agar kerajaan mengambil serius tentang cadangan-cadangan dan usul-usul yang dikemukakan Parlimen Digital untuk dipertimbangkan sebagai dasar kerajaan.

Rashid, yang juga ahli parlimen Batu Pahat bagaimanapun tidak menyebutkan tentang dakwaan bahawa polis Cabang Khas (SB) telah menghubungi peserta Parlimen Digital untuk disoal siasat.

Parlimen Digital dianjurkan oleh tiga NGO belia non-partisan - Undi18, Challenger Malaysia dan Liga Demokratik Malaysia - dengan tujuan memperkasakan belia dan membuktikan bahawa prosiding parlimen dapat dijalankan secara dalam talian.

Ia susulan persidangan satu hari yang kontroversial pada 18 Mei lalu.

Diadakan pada hujung minggu lalu menggunakan aplikasi Zoom dan disiarkan secara dalam talian, ia menyaksikan 222 peserta berusia antara 15 hingga 35 tahun membahaskan pakej perangsang ekonomi untuk belia dalam menghadapi Covid-19.

Mereka juga membincangkan penyelesaian untuk masyarakat terpinggir yang terkesan oleh wabak itu.

Beberapa ahli parlimen pembangkang dan NGO Lawyers for Liberty mengkritik tindakan polis yang didakwa menyiasat perserta inisiatif itu, dan menyifatkannya sebagai intimidasi dan tekanan terhadap belia.

Ketua Polis Negara (IGP) Abdul Hamid Bador sejak itu menafikan bahawa polis telah memanggil peserta program itu itu dan mendesak pihak-pihak yang terlibat untuk mengemukakan dakwaan mereka.