Skip to main
Logo Malaysiakini

SPRM tahan ketua bahagian syarikat kerana disyaki terima rasuah RM112,000

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang ketua bahagian perniagaan sebuah syarikat swasta kerana disyaki meminta dan menerima rasuah bernilai kira-kira RM112,000, hari ini.

Menurut sumber SPRM, lelaki berusia 49 tahun itu ditahan di pejabat SPRM Cawangan Klang pada kira-kira 4 petang tadi selepas hadir memberikan keterangan.

"Suspek telah meminta serta menerima rasuah yang didakwa sebagai elaun dan komisen daripada sebuah syarikat pembekal yang beliau lantik bagi menjalankan kerja-kerja percetakan sekitar tahun 2017 hingga 2018," katanya kepada Bernama, hari ini.

Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi Bernama mengesahkan penahanan berkenaan.

Alias berkata kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 16(a) (A) Akta SPRM 2009 dan suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam esok, jam 9 pagi untuk permohonan reman.

- Bernama