Skip to main
Logo Malaysiakini

Syed Saddiq tarik cabaran undang-undang isu pemecatan dari Bersatu

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla mengesahkan bahawa bekas ketua pemuda Bersatu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berhasrat untuk menarik diri dari cabaran undang-undang terhadap pemecatannya daripada Bersatu.

Bagaimanapun, Haniff berkata bahawa bekas menteri belia dan sukan itu masih berpendapat bahawa pemecatannya daripada Bersatu adalah salah.

Bercakap kepada Malaysiakini hari ini, Haniff berkata bahawa Syed Saddiq memaklumkannya niat menarik diri dari kes itu petang semalam.

Semalam, melalui satu kenyataan, Syed Saddiq mendedahkan bahawa dia tidak akan menangguhkan usaha penyingkirannya daripada Bersatu, justeru akan menarik balik cabaran undang-undangnya.

Haniff berkata bahawa Syed Saddiq meminta penarikan diri itu kerana ingin menumpukan perhatian pada perjuangan politiknya.

"Semalam, dia memberitahu saya tentang hasratnya (Syed Saddiq) untuk menarik diri dari saman itu kerana dia ingin memberi tumpuan kepada perjuangan politiknya.

"Itu adalah haknya untuk melakukannya dengan alasan apa pun.

"Pengundurannya tidak akan mempengaruhi tuntutan utama yang ditangguhkan di mahkamah oleh lima plaintif yang lain.

"Perbicaraan plaintif lain untuk injunksi interim dan permohonan pembatalan (oleh defendan) masih akan didengar oleh Mahkamah Tinggi (Kuala Lumpur) esok," kata Haniff.

Esok ditetapkan untuk mahkamah mendengar permohonan bekas pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad dan lima yang lain untuk injunksi interim untuk mengekalkan status quo dalam cabaran undang-undang mereka berhubung pemecatan mereka dari parti.

Lima plaintif lain adalah Syed Saddiq, bekas timbalan presiden Mukhriz Mahathir, bekas anggota majlis tertinggi Maszlee Malik dan Amiruddin Hamzah serta bekas setiausaha agung Marzuki Yahya.

Haniff adalah penasihat untuk semua plaintif.

Mahathir dan yang lain membuat tuntutan terhadap presiden Bersatu yang juga Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan tiga yang lain atas dakwaan mereka diberhentikan secara salah dari parti itu.

Mahkamah Tinggi esok juga akan mendengar permohonan Muhyiddin dan tiga defendan lain untuk membatalkan tuntutan utama.

Defendan lain adalah Menteri Dalam Negeri dan Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin; Setiausaha Eksekutif Bersatu, Muhammad Suhaimi Yahya, dan Ketua Pengarah Pendaftar Pertubuhan (ROS) Masyati Abang Ibrahim.

Sementara itu hari ini, Haniff mengulangi bahawa Syed Saddiq masih berpendapat bahawa pemecatannya daripada Bersatu telah dilakukan dengan cara yang salah, dan bahawa dia (Syed Saddiq) akan meneruskan perjuangan politiknya di platform yang lain.

"Dia (Syed Saddiq) tidak mengatakan bahawa dia patut diberhentikan (daripada Bersatu). Dia masih berpendapat bahawa apa yang telah dilakukan kepadanya adalah salah dan tidak menerima penyingkirannya," kata Haniff.