Skip to main
Logo Malaysiakini

Adun Bukit Gasing kemuka usul gubal undang-undang antilompat parti

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Adun Bukit Gasing, Rajiv Rishyakaran mengemukakan usul kepada Dun Selangor bagi meminta undang-undang digubal agar wakil rakyat yang melompat parti mengosongkan kerusi mereka secara automatik.

Bercakap kepada Malaysiakini, Rishyakaran berkata beiau telah mengemukakan usul itu kepada pejabat setiausaha DUN di bawah Peraturan Tetap 26 (1) pada 26 Jun melalui sepucuk surat dan telah ditandakan diterima pada 29 Jun.

Rishyakaran berkata beliau mengusulkan agar undang-undang negeri dipinda bagi menghalang lompat parti seperti mana yang berlaku apabila kerajaan Pakatan Harapan tumbang di peringkat persekutuan.

"Keseluruhan ideanya adalah mengenai mengubah kesetiaan - haruskah orang-orang ini diizinkan bertukar haluan di separuh jalan dan mengkhianati mandat rakyat?

"Kita tidak memaksa kamu untuk tidak menukar kesetiaan, tetapi kerana kamu dipilih dalam satu platform (seperti Pakatan Harapan) oleh para pengundi, kamu harus meletak jawatan sekiranya kamu mahu menukar haluan."

Rishyakaran berkata, peraturan perlu diperketat bagi menangani kes wakil rakyat yang dipilih dalam sesebuah parti yang merupakan sebahagian daripada gabungan, dan kemudian parti itu sendiri berpecah dengan anggotanya meninggalkan gabungan tersebut, seperti yang berlaku terhadap Bersatu.

"Kami akan mendengar maklum balas daripada orang ramai untuk menyempurnakan undang-undang ini.

"Saya secara peribadi sangat menentang mereka yang melompat, tidak kira ke arah mana mereka mahu melompat," katanya.

DUN Selangor dijadualkan bersidang pada 13 Julai, hari yang sama dengan persidangan parlimen.

Rajiv berkata, beliau juga telah mengemukakan resolusi lain bagi meminta kerajaan Selangor mengambil langkah mempercepat proses penggantian paip air di negeri itu untuk mengurangkan gangguan bekalan air apabila terdapat insiden paip pecah atau rosak.