Skip to main
Logo Malaysiakini

MP Johor Bahru tampil bantu usaha warga S'pura bertemu isteri

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasir tampil menawarkan diri untuk membantu seorang lelaki Singapura masuk ke negara untuk bersama pasangannya dari Malaysia.

CA Mahendran sebelum ini memberitahu Malaysiakini bahawa dia terpisah dengan isterinya - A Kavitha - setelah kedua-dua negara menutup sempadan susulan Covid-19.

Mahendran berusaha mendapatkan izin untuk memasuki Malaysia bagi menjaga isterinya yang menghidap diabetis dan ulser kaki.

Dalam kenyataan di Facebook, Akmal berkata bahawa dia mengunjungi Kavitha di rumahnya di Johor Bahru petang tadi setelah membaca mengenai keadaan mereka dalam laporan tersebut.

"Saya telah mendapatkan salinan dokumen daripada beliau (Kavitha) termasuk rekod kesihatan.

"Insyallah, esok pagi saya akan ke pejabat Imigresen Johor bagi menyerahkan dokumen tersebut," kata ahli parlimen PKR itu.

Kavitha, 51, tinggal sendirian sejak tiga bulan yang lalu. Dia mengalami kesukaran berjalan kerana lukanya dan tidak dapat melakukan perjalanan ke klinik atau hospital untuk merawat kakinya.

Pada 22 Jun lalu, kerajaan mengumumkan bahawa pasangan warga asing yang berkahwin dengan rakyat Malaysia akan dibenarkan memasuki negara setelah mendapat "kelulusan" dari Jabatan Imigresen.

Susulan itu, Mahendran membuat banyak permohonan tetapi tidak diendahkan.

Lelaki berusia 58 tahun itu mengaku telah menghantar sekurang-kurangnya "10 e-mel" kepada jabatan imigresen tetapi belum mendapat balasan.

Awal hari ini, Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob mengatakan bahawa pasangan asing yang tidak mempunyai visa suami isteri dapat memasuki Malaysia setelah mereka menunjukkan dokumen yang diperlukan kepada Jabatan Imigresen.