Asing jantina di pawagam Terengganu: 'Tunjuk kerajaan buat kerja'
TINJAUAN | Langkah drastik kerajaan Terengganu untuk mengasingkan tempat duduk mengikut jantina dalam pawagam mendapat pelbagai reaksi di kalangan orang ramai yang ditemui Malaysiakini di negeri itu.
Mohd Faizul Ab Fattah, 40 berkata keputusan itu menunjukkan bahawa kerajaan negeri Terengganu 'buat kerja' dan bukan sekadar pandai bercakap semata-mata
Katanya, pawagam umpama sebuah dewan kuliah untuk sampaikan pelbagai mesej kepada masyarakat melalui filem sambil memberikan hiburan.
"Jadi, untuk melihat kepada soalan ini, kepelbagaian budaya dan tuntutan domestik amat penting serta di Malaysia faktor-faktor yang sensitif harus dijaga dan tidak dikomersialkan.
"Sebagai rakyat dan anak jati Terengganu, saya menyokong penuh peraturan pengasingan zon kawasan tempat duduk lelaki dan wanita beragama atau tidak beragama Islam di jalankan. Malah ia akan mendidik rakyat supaya berdisiplin dan akur pada arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan.
"Larangan kerajaan Terengganu lebih kepada mencegah, kerana ada pasangan yang belum berkahwin bukan nak tengok wayang tetapi lebih kepada 'main wayang' dalam pawagam," kata Mohd Faizul (gambar, bawah) yang juga seorang usahawan.
'Yakin diterima umum'
Tambahnya, peraturan tambahan juga perlu diambil seperti tiada tayangan pada waktu maghrib, malam Jumaat dan pada bulan Ramadan serta bukaan lampu di bahagian belakang pawagam.
"Tahniah juga ditujukan kepada pengusaha pawagam di negeri Terengganu yang bersedia memberi kerjasama dan sokongan terhadap dasar dan pendekatan kerajaan negeri serta percaya pelaksanaan pendekatan baru tersebut adalah boleh diterima baik oleh masyarakat umum kerana ia bertujuan memastikan penonton berasa selesa dan selamat," katanya.
Terdahulu kerajaan negeri Terengganu dilaporkan memperkenalkan peraturan pengasingan tempat duduk mengikut jantina kepada penonton dalam pawagam di negeri itu.
Langkah itu diambil sebagai usaha bagi mengekang gejala sosial sekali gus menjadikan pusat hiburan itu sebagai patuh syariah.
Bagi Adila Sharinni Wahid, 34, (gambar, atas) berkata pendekatan itu sangat bagus kerana kerajaan negeri bersikap tegas dalam usaha mencegah risiko berlakunya kemungkaran.
"Saya berpendapat ia satu pendekatan yang baik untuk menjadikan pawagam sebagai tempat berhibur tanpa maksiat.
"Sebab kita tahu suasana dalam pawagam yang gelap dan sebarang kemungkinan aktiviti ke arah maksiat boleh berlaku," katanya.
Sementara itu, ada juga individu yang melihat pendekatan itu daripada sudut berbeza dan menyifatkan langkah itu tidak perlu dilaksanakan.
Susahkan keluarga
Syazwani Syarif, 27, berpendapat pengasingan tempat duduk jantina di dalam panggung wayang akan menyusahkan penonton yang datang bersama keluarga selain menyusahkan pengusaha pawagam.
"Saya rasa mustahil nak berlaku maksiat atau gangguan seksual dalam panggung wayang, sebab kerusi dalam panggung wayang tu ada penyekat kiri dan kanan.
"Kalau penonton nak buat maksiat, saya rasa di mana-mana tempat lain pun boleh buat maksiat," ujarnya.
Bagi Nuraidil Zakaria, 38, pula menyatakan tidak perlu mengambil langkah sedemikan sebaliknya lebih baik setiap kerusi dijarakkan.
"Tak perlu asingkan pun sebenarnya, tetapi lebih baik jika dijarakkan antara kerusi-kerusi penonton. Ia menjadikan kita lebih tumpuan semasa menonton," katanya ringkas.
Sementara itu bagi pemuda bukan Islam, Brandon, 31, berkata, baginya peraturan itu tidak menjadi masalah besar kerana masyarakat Cina di Terengganu juga tidak terlalu ramai.
"Kebanyakan orang muda Cina di Terengganu akan berhibur di Kuantan atau Kuala Lumpur.
"Jadi bagi saya, langkah itu tidak ada masalah. Orang Cina di sini pun tak ramai," jelasnya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai