Pengacara gelar Al Jazeera sebagai Al Jahiliah kata dia patriotik
Pengacara Bernama TV, Harleena Pahlavy yang menggelar stesen penyiaran antarabangsa, Al Jazeera sebagai Al Jahiliah mengatakan beliau seorang individu patriotik.
"Tidak gentar dan patriotik di saluran TV Malaysia mempunyai akibatnya sendiri," kata pengacara sambilan itu di Twitter lewat semalam.
Kenyataan itu dibuat selepas Menteri Komunikasi dan Multimedia, Saifuddin Abdullah berkata tindakan telah diambil terhadap Harleena.
"Kita tak setuju dengan satu laporan saluran berita itu. Tapi kita tak boleh menggelarnya dengan panggilan itu.
"Saya dimaklumkan oleh pengerusi Bernama yang tindakan telah diambil," kata Saifuddin pada hantaran di Twitter.
Saifuddin bagaimanapun, tidak menjelaskan lebih lanjut tindakan yang telah diambil terhadap Harleena.
Ketika mengakhiri program Malaysia Petang Ini yang disiarkan Isnin lalu di Bernama TV, Herleena berkata: "Al Jazeera, you shut up’”
Herleena juga dalam rancangan itu mendakwa laporan Al Jazeera tidak beretika dan tidak berasas.
Sementara itu semalam, ketika ditanya keadaannya di Twitter Harleena menjawab: "Saya pasti tidak sedih."
Insiden itu berlaku susulan dokumentari kontroversi Al Jazeera yang mendakwa berlaku penganiayaan terhadap pendatang tanpa izin di negara ini semasa kerajaan menangani wabak Covid-19.
Locked Up in Malaysia's Lockdown disiarkan menerusi program 101 East pada hujung minggu lalu, di mana Al Jazeera mendakwa serbuan imigresen dilakukan "ala tentera", kanak- kanak bawah umur digari dan pendatang ditahan di kawasan yang sempit.
Laporan Al Jazeera itu juga mempertanyakan jika tindakan keras tersebut merupakan langkah "praktikal berdasarkan realiti untuk menangani wabak" atau pun tindakan "perkauman."
Laporan itu meliputi wawancara dengan pendatang asing, NGO, organisasi masyarakat sivil dan persatuan perniagaan.
Namun, Al Jazeera mendakwa telah meminta maklum balas daripada Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob, Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin dan timbalan mereka, sebelum menyiarkan laporan tersebut.
Namun, permintaan mereka didakwa tidak dilayan.
Laporan itu menimbulkan kemarahan kerajaan, yang menyangkal dakwaan mengambil tindakan bersikap perkauman terhadap pendatang asing.
Kerajaan juga menjelaskan tindakan yang diambil terhadap pendatng adalah mengikut undang-undang.
Ini mendorong siasatan polis terhadap penyiar antarabangsa yang berpusat di Qatar itu, manakala Jabatan Imigresen sedang mengesan seorang pendatang yang diwawancara dalam dokumentari terbabit.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai