Skip to main
Logo Malaysiakini

Kebenaran warga asing ke sekolah bukan bidang kuasa KKM

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Timbalan Menteri Kementerian Kesihatan Dr Noor Azmi Ghazali berkata bahawa kebenaran kepada pelajar warga asing untuk datang ke taska atau tadika bukan bidang kuasa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebaliknya, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

"Tentang siapa yang boleh masuk (ke sekolah, taska dan tadika) KKM tidak terlibat.

"Kami (KKM) hanya menasihati semua kementerian berhubung cadangan yang di bawa oleh mereka," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Malam Ramah Mesra Media di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur, sebentar tadi.

Terdahulu Noor Azmi (gambar, bawah) diminta mengulas laporan Malaysiakini mengenai nasib seorang pelajar Rohingya berumur enam tahun yang tidak dibenar hadir ke taska susulan dakwaan terdapat prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan (KKM) bagi mengelak penularan Covid-19.

Shara belajar di sebuah Tabika Kemas, program prasekolah bawah Jabatan Kemajuan Masyarakat, sejak tiga tahun lalu.

Bagaimanapun, ketika Tabika dibuka semula pada 1 Julai lalu, dia tidak dapat meneruskan kembali persekolahan yang dibuka pada 1 Julai.

Ini berbeza dengan tadika swasta yang membenarkan kehadiran anak warga asing.

Sebelum ini, bapa Shara, Harris berkata beliau dimaklumkan Shara tidak dibenar hadir ke kelas oleh pihak sekolah pada 30 Jun, sehari sebelum ia dibuka kembali.

"Anak kamu tidak boleh datang ke sekolah.

“Ini prosedur kami sama seperti warga asing tidak boleh ke masjid dan surau untuk membuat sembahyang," menurut satu mesej oleh cikgu tabika tersebut kepada Harris yang turut dikongsi dengan Malaysiakini.

Semakan di laman rasmi Majlis Keselamatan Negara (MKN) mendapati SOP sektor pendidikan tidak menyentuh berhubung status pelajar warga asing.

Menjelaskan lanjut, Dr Noor Azmiyang juga ahli parlimen Bagan Serai berkata bahawa KKM tidak dapat membuat keputusan bagi pihak kementerian lain.

"Saya (KKM) cuma buat SOP sahaja. Kami menasihatkan apa yang patut dibuat oleh kementerian berdasarkan dia orang memberi cadangan.

"Jadi, kementerian yang terlibat dengan taska dan tadika adalah KPM," katanya lagi.