Skip to main
Logo Malaysiakini

M'sia cipta duluan jika lulus usul singkir speaker, timbalan

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Malaysia akan mencipta satu duluan sekiranya sidang Dewan Rakyat meluluskan usul yang dibawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) bagi menukar Yang Dipertua Dewan Rakyat, Mohammad Ariff Md Yusof dan timbalannya, Nga Kor Ming pada persidangan parlimen 13 Julai ini.

Pengerusi PKR Terengganu, Azan Ismail berkata demikian sebagai mengulas usul penyingkiran speaker dan timbalan speaker Dewan Rakyat, pada Isnin depan yang disifatkannya akan memberi kesan buruk kepada negara.

Menurut Azan, ini kerana Malaysia akan menjadi contoh isu perundangan kepada negara kesatuan Komanwel dalam isu tersebut.

"Maknanya, kalau ada apa-apa isu berkait dengan aturan mesyuarat di parlimen, selalunya rakan-rakan di negara-negara Komanwel ini akan merujuk kepada Malaysia.

"Jadi, sekiranya pada 13 Julai ini nanti berlaku sebagaimana peraturan mesyuarat untuk pertukaran speaker dijalankan atau berjaya dilakukan, Malaysia akan mencipta satu precedent case (duluan) maksudnya kes contoh yang barangkali di masa akan datang akan menjadi rujukan kepada mana-mana parlimen dalam negara-negara Komanwel dengan merujuk nama Malaysia.

Speaker Dewan Rakyat, Mohammad Ariff Md Yusof dan timbalannya, Nga Kor Ming.

"Saya rasa precedent ini tidak berapa baik untuk Malaysia bagi menjadi rujukan dalam isu pertukaran speaker yang sebelum ini belum pernah berlaku di dalam mana-mana negara komanwel, yang mengamalkan sistem berparlimen yang sama," katanya kepada Malaysiakini.

Terdahulu Muhyiddin dilaporkan telah menghantar notis mencalonkan pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Azhar Azizan Harun sebagai speaker baru manakala anggota parlimen Pengerang Azalina Othman Said pula sebagai timbalannya.

'Usul nak selamat PM'

Bagaimanapun, dalam satu wawancara, Nga berkata beliau dan Ariff Md Yusof tidak meletakkan jawatan sehingga sekarang kerana kedudukan itu diputuskan oleh cabang legislatif dan bukannya eksekutif.

SPR pada 9 Julai mengesahkan Azhar telah meletakan jawatan sebagai pengerusi badan itu pada 29 Jun lalu.

Mengulas lanjut, Azan berkata isu pertukaran speaker di tengah penggal itu juga tidak pernah ada lagi dikalangan parlimen dalam negara-negara Komanwel.

Bagaimanapun, beliau percaya usul pertukaran tersebut bagi menyelamatkan kedudukan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Bagaimanapun, kata Azan kerajaan PN dibawah pemerintahan Muhyiddin tidak perlu bimbang dengan usul undi tidak percaya yang dibuat pembangkang.

Kata Azan, ini kerana telah terbukti semua pertukaran perdana menteri berlaku di luar parlimen.

"Perdana menteri atau ketua kerajaan tidak perlu takut atau bimbang terhadap usul undi tidak percaya kepada beliau. Tidak ada pertukaran di dalam parlimen.

"Sebagai contoh, pertukaran daripada Tun Mahathir kepada Abdullah Badawi (Pak Lah) diluar Parlimen, Pak Lah kepada Najib pun di luar parlimen. Najib kepada Tun Mahathir semula selepas kekalahan pun di luar parlimen. Belum ada pertukaran seorang perdana menteri berlaku di dalam sidang parlimen itu sendiri, tidak ada.

"Malah, kalau kita ambil contoh Tun Mahathir apabila dia merasakan dia tidak adasokongan, dia terus letak jawatan di luar parlimen, bukan di dalam parlimen," katanya.

Menurut Azam lagi, sekiranya usul undi untuk menukar speaker tidak berjaya diluluskan ia akan membawa tafsiran bahawa pembawa usul iaitu kerajaan yang diketuai Muhyiddin telah hilang sokongan secara automatik di dalam parlimen.

Oleh demikian, Azan menyeru semua anggota parlimen bertindak mempertahankan institusi parlimen berbanding mempertahankan satu-satu anggota parlimen yang mempunyai motif tersendiri.