Skip to main
Logo Malaysiakini

Pegawai daerah di Lombok saran wanita berpurdah elak koronavirus

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

GLOBAL | Seorang ahli politik Indonesia dikritik gara-gara memerintahkan wanita yang bekerja sebagai penjawat awam di negara itu memakai purdah seminggu sekali sebagai usaha untuk melindungi diri masing-masing daripada serangan wabak Covid-19.

Pengkritik menyifatkan penggunaan penutup muka berkenaan - yang dikenakan ketika mereka menjalankan urusan rasmi - tidak memberikan perlindungan yang mencukupi daripada wabak itu.

Menurut Pegawai Daerah Lombok Tengah, Mohammad Suhaili Fadhil Thohir, dia mengeluarkan arahan itu secara spontan sebagai "motivasi" supaya wanita Muslim di pulau yang terletak bersebalahan dengan Pulau Bali itu berpurdah.

Dia berkata, cadangan itu tiada kaitan dengan ajaran radikal, kerana ia adalah perkara biasa digunakan di Timur Tengah.

"Ini semata-mata untuk pencegahan Covid-19. Ini tidak berdasarkan ajaran radikal atau fanatik," katanya.

Menurut Suhaili lagi arahan berkenaan bukanlah suatu kemestian dan dia tidak berhalangan jika ada kakitangan awam yang enggan atau gagal mematuhinya.

Sebelum ini katanya ada kakitangan awam wanita mengadu tidak selesa kerana terpaksa memakai pelitup muka semasa mengadakan senaman di luar pejabat.

Rutin itu diadakan setiap Jumaat dan arahan mengenainya dikeluarkan awal bulan lalu.

"Untuk memastikan penjawat awam menutup hidung dan mulut semasa senaman mingguan, kami meminta mereka memakai niqab," katanya lagi.

Mungkin jadi dasar wajib nanti

Bagi penjawat awam lelaki pula mereka dimestikan memakai pelitup muka perubatan semasa rutin tersebut.

Walaupun peraturan itu hanya wajib pada hari Jumaat, kebanyakan kakitangan wanita memang bertudung pada setiap hari.

Kira-kira 90 peratus daripada hampir 4,000 wanita yang bekerja sebagai kakitangan awam di Lombok Tengah adalah beragama Islam.

Penjawat awam, Yayuh, berkata dia menjangkakan perkara itu akan menjadi satu dasar wajib yang tidak terhad pada hari Jumaat saja tidak lama lagi.

"Tetapi saya tidak keberatan kerana ini adalah cara untuk belajar mengenakan pakaian yang sesuai yang diajarkan dalam Islam," tambahnya.

Dasar ini telah mendapat perhatian dalam kalangan kumpulan hak asasi di negara itu.

"Topeng perlu memenuhi standard tertentu untuk mencegah jangkitan," kata Andy Yentriyani, seorang daripada pegawai kanan di Suruhanjaya Nasional Mengenai Keganasan Terhadap Wanita.

"Perkara itu harus dikaji semula kerana dapat mengancam hak kesihatan wanita," katanya lagi.

Lombok Tengah tidak begitu ketara dengan wabak Covid-19 kerana mencatat kira-kira 117 kes dengan empat kematian berbanding jumlah keseluruhan yang direkodkan Indonesia mencecah 70,000 kes.

Penyelidik Human Rights Watch, Andreas Harsono mengatakan, perintah bertudung itu akan menjadi peraturan wajib bertudung bagi gadis-gadis Muslim di hampir 300,000 sekolah awam di seluruh kepulauan itu.

"Setiap orang harus memakai pelitup muka untuk melindungi diri dari koronavirus, termasuk penjawat awam, tetapi tudung bukan pelitup muka," katanya seperti dipetik AFP.