Lelaki cuba nikahkan anak tiri dengan lelaki OKU demi tutup perbuatan durjana
GLOBAL | Demi menutup perbuatan kejinya, seorang seorang pemandu lori sengaja menikahkan anak tirinya - yang baru berusia 12 tahun - dengan seorang lelaki kelainan upaya ketika kedua-dua mereka dibezakan jurang umur sehingga 32 tahun.
Namun helah tersebut masih gagal mengaburi pihak ketiga apabila pernikahan berkenaan disiasat selepas menjadi tular.
Akhirnya terdedah juga - si bapa menjadikan anak tirinya itu sebagai pemuas nafsu dan kemudian mengugut mangsa agar tidak menceritakan kejadian itu kepada sesiapa..
Ketua Siasatan Jenayah Polis Pinrang di Sulawesi Selatan, Dharma Nagara, berkata suspek berusia 39 tahun dan melakukan pencabulan itu sejak 2018 lagi.
Ketika itu, katanya, mangsa baru berusia 10 tahun, tetapi hanya terbongkar Jun lalu menjelang pernikahan yang dirancang suspek.
Malah, suspek dikatakan masih sempat melampiaskan nafsunya terhadap kanak-kanak terbabit sejurus sebelum mangsa dinikahkan dengan lelaki kelainan upaya berkenaan.
Laporan Tribunnews menyatakan selepas kejadian pertama berlaku mangsa ada mengadu kepada ibunya namun wanita terbabit tidak berbuat apa-apa kerana takut.
Masih berlaku sebelum dinikahkan
“Pernikahan itu hanya untuk menutup aib kelakuan ayah tiri kerana serangan seksual tersebut berlangsung sejak dua tahun lalu.
Dia kemudian menikahkan si anak tiri dengan lelaki bujang berusia 44 tahun dari Makassar,” Dharma dipetik sebagai berkata.
Sebelum itu kata polis pasangan suami isteri berkenaan berkunjung ke kampung lain untuk mencari lelaki yang dianggap sesuai untuk dinikahkan dengan anak mereka.
“Kali terakhir kejadian rogol itu ialah sejurus sebelum mangsa dinikahkan," kata Dharma Nagara.
Menjelaskan kes itu pegawai polis terbabit berkata, kejadian rogol pertama berlaku ketika suspek membawa mangsa menaiki motosikal kononnya untuk dibawa berjemaah solat Maghrib di masjid.
Suspek kemudian membawa mangsa ke kebun yang cukup jauh dari kejiranan mereka sebelum dirogol di atas longgokan kulit jagung yang baru dituai.
Suspek kemudian membawa mangsa pulang dan ditinggalkan kira-kira 100 meter dari rumah mereka.
Suspek kini ditahan polis untuk tindakan lanjut. Jika sabit kesalahan dia boleh dipenjara sehingga 15 tahun.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai