Skip to main
Logo Malaysiakini

Pemandu mabuk cedera parah lepas rempuh pagar masjid

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Seorang lelaki dipercayai memandu dalam keadaan mabuk cedera parah selepas kereta dipandunya terbabas dan merempuh pagar Masjid Jamek Tengah Berapit di Jalan Berapit di Bukit Mertajam, awal pagi tadi.

Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), ACP Shafee Abd Samad, dalam kejadian jam 2.30 pagi itu, lelaki berusia 23 tahun itu memandu bersendirian dan siasatan awal mendapati lelaki itu memandu di bawah pengaruh alkohol.

“Kemalangan berlaku di laluan lurus dan pemandu dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas serta merempuh pagar masjid itu,” katanya ketika dihubungi  hari ini.

Pemandu yang cedera parah dihantar ke Hospital Bukit Mertajam untuk rawatan lanjut.

Beliau berkata ujian saringan awal air kencing mendapati lelaki yang tinggal di Kampung Aston Road itu negatif daripada penggunaan dadah dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

- Bernama