Skip to main
Logo Malaysiakini

Hanipa harap penyelesaian lebih lembut tangani isu transgender

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Bekas timbalan menteri Hanipa Maidin berharap penyelesaian yang lebih lembut digunakan menteri hal ehwal agama Zulkifli Mohamad dalam menangani kumpulan transgender di negara ini.

Anggota Perlimen Sepang itu berkata kumpulan tersebut "tidak perlu" diganggu apatah lagi ditangkap.

"(Badan penguatkuasa dan undang-undang seperti Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan) Jawi harus ada belas kasihan kepada mereka. Apalagi diperlakukan sebagai penjenayah.

"Sejujurnya, saya mengharapkan menteri itu tampil dengan penyelesaian yang lebih lembut.

"Isu penangkapan transgender seharusnya tidak perlu dibangkitkan," kata pemimpin Amanah dalam satu kenyataan.

Hanipa, yang merupakan timbalan menteri undang-undang di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini berkata sebaliknya, kumpulan transgender harus dilindungi.

"Transgender seharusnya dianggap sebagai segmen masyarakat kita yang paling lemah. Mereka harus dilindungi, ”katanya lagi.

Jumaat lalu, Zulkifli, yang merupakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri memberikan "lesen penuh" kepada pegawai Jawi untuk melakukan penguatkuasaan terhadap komuniti transgender.

Beliau berkata langkah itu bukan hanya untuk menangkap mereka tetapi memulihkan kumpulan transgender supaya "kembali ke jalan yang benar".

Langkah itu menimbulkan rasa kurang senang kumpulan itu dan kumpulan hak asasi yang mendakwa ia hanya akan menimbulkan kebencian terhadap masyarakat yang sudah terpinggir itu.

Aktivis transgender Nisha Ayub berkata tindakan ini hanya akan menjadikan kumpulan transgender terdedah kepada ancaman bahaya.

"Apa yang berlaku dengan hak kita berdasarkan Perlembagaan Persekutuan Malaysia? Hak untuk kebebasan peribadi, persamaan, ekspresi, pergerakan, agama dan sebagainya? Mengapa menyasarkan kepada kita golongan minoriti? Kenapa?" soal Nisha.