Parlimen panas selepas usul tukar speaker dikemuka
- Dikemas kini dengan laporan penuh.
Parlimen panas selepas usul menggugurkan speaker Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusof dikemuka.
Usul untuk menggugurkan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Mohamad Ariff Mohd Yusof bertukar panas apabila Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim mempersoalkan niat kerajaan untuk menggantikan Ariff.
Ia selepas Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin mengusulkan usul untuk menggantikan Ariff dengan alasan ada kekosongan.
"Saya mencadangkan Tan Sri Mohamad Ariff mengosongkan jawatan atas alasan ada jawatan lain", kata Muhyiddin.
Usul itu disokong Ahli Parlimen Gombak, Mohamed Azmin Ali.
Timbalan Yang Dipertua, Rashid Hasnon selepas itu membuka dewan membahaskan usul tersebut.
Rashid mengeluarkan arahan bahawa hanya dua wakil daripada kerajaan dan pembangkang untuk membahaskan usul yang dibentangkan Muhyiddin dalam tempoh masa 10 minit.
Anggota parlimen tidak berpuas hati dan mahukan perbahasan lebih lama dibuat sebelum pengundian.
Terdengar juga seorang anggota parlimen Pakatan Harapan (PH) melaungkan “Apa salah speaker?”.
Bagaimanapun, Anwar bangkit mempersoalkan tindakan itu dengan menyatakan bahawa tindakan untuk membenarkan perbahasan untuk dua orang sahaja tidak adil kepada anggota-anggota Parlimen.
"Ini soal saya cadangkan timbalan speaker jangan ambil keputusan untuk menghalang daripada berbahas. Ini soal teknikal.
"Tidak ada sebab nak hadkan kepada dua orang kerana ini isu besar dan pertama kali dalam sejarah," katanya di Dewan Rakyat.
Turut bangun mempersoalkan tindakan Rashid, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad.
Menurut Khalid, Mohamad Ariff telah melakukan tugasnya dengan baik dan tidak ada sebab kenapa beliau perlu digugurkan.
"Apa salah Mohamad Arif sehingga ia ditukarkan," katanya.
Ekoran daripada itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Takiyuddin Hassan bangkit menjelaskan isu pertukaran speaker Dewan Rakyat boleh dilakukan.
Bagaimanapun, belum sempat Takiyuddin bangkit memberi penjelasan Ahli Parlimen Kota Raja, Mohamad Sabu menyampuk dan menyindir dengan menggelar Rashid sebagai 'bodoh'.
“Speaker bodoh, speaker bodoh,” kata Mohamad Sabu.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, Muhyiddin membentangkan usul bagi memilih bekas pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun sebagai Yang Dipertua dan Ahli Parlimen Pengerang, Azalina Othman Said sebagai Timbalan Yang Dipertua mengikut Peraturan Mesyuarat 4(1) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.
Tiada sebab, kata Dr M
Sementara itu, bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad menyifatkan tiada sebab untuk menukar speaker.
"Kita sedang bincang sesuatu yang bukan normal.
"Ini normal baru yang diperkenalkan oleh perdana menteri. Tidak ada peruntukan dalam perlembagaan persekutuan.
“Saya pun ada calon lain untuk PM. Kita tidak ada sebab untuk tukar Speaker," katanya.
Mahathir menegaskan seseorang yang mengepalai Dewan Rakyat harus tidak menyebelahi mana-mana pihak dan perlu bersifat neutral.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai