Skip to main
Logo Malaysiakini

Jambatan Kg Enam Renok runtuh, 1,000 terputus hubungan

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Lebih 1,000 penduduk di Kampung Enam Renok di Gua Musang, terputus hubungan apabila jambatan konkrit yang merentasi Sungai Galas runtuh akibat arus deras selepas ditenggelami air selama enam jam, petang semalam.

Ketiadaan jambatan itu yang menjadi laluan utama penduduk untuk berulang-alik ke bandar Gua Musang menyebabkan mereka terpaksa menggunakan jambatan kereta api yang sempit dan berbahaya serta hanya boleh dilalui oleh pejalan kaki dan motosikal.

Seorang penduduk, Azman Daud, 49, berkata kejadian jambatan runtuh itu disedari berlaku pada pukul 4 petang semalam sebaik air sungai berkenaan surut.

Katanya, kebanyakan penduduk yang menunggu air sungai surut untuk melalui jambatan itu ke bandar ini terkejut apabila melihat jambatan konkrit yang dibina sejak 11 tahun lepas itu runtuh dan ketika ini penduduk tiada pilihan selain menggunakan jambatan kereta api untuk berulang-alik ke bandar Gua Musang.

"Kita benar-benar mengharapkan kerajaan dapat membina segera jambatan baharu supaya masalah kami yang terputus hubungan dapat diatasi kerana kami semua tidak mempunyai jalan hubungan lain untuk ke bandar," katanya.

Seorang lagi penduduk, Kua Eh Say, 56, pula berkata sejarah lama penduduk kampung menggunakan jambatan kereta api berulang kembali selepas jambatan konkrit berkenaan yang menjadi perhubungan penting runtuh.

Katanya, mereka juga khuatir terhadap keselamatan pelajar sekolah yang terpaksa melalui jambatan kereta api untuk berulang-alik ke sekolah apabila sekolah dibuka semula Rabu ini.

Beliau turut mendakwa ada beberapa penduduk yang pernah terjatuh daripada jambatan kereta api itu puluhan tahun lalu dan keadaan itu menghantui penduduk yang terpaksa melaluinya sekali lagi.

- Bernama