Skip to main
Logo Malaysiakini

Kerajaan sekat Petrosaudi guna AS$340 juta milik 1MDB di UK

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Kerajaan hari ini memfailkan saman pelucutan hak ke atas Petrosaudi International Limited dan pengarahnya Tarek Obaid daripada menggunakan dana lebih AS$340 juta yang mempunyai kaitan dengan 1MDB.

Timbalan Pendakwaraya, Budiman Lutfi Mohamed ketika ditemu pada sesi pengurusan kes di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memaklumkan wang berkenaan disimpan dalam akaun di United Kingdom (UK).

Permohonan yang dikemukakan itu membolehkan wang dalam akaun berkenaan dibekukan.

Dalam permohonan yang dikemukakan pada 10 Julai itu, kerajaan berpendapat bahawa sejumlah wang AS$340,258,246,87 di Clyde & Co LLP milik PetroSaudi dan anak syarikatnya PetroSaudi Oil Services (Venezuela) Limited adalah hasil daripada pengubah wang haram.

Permohonan itu dikemukakan mengikut Seksyen 53 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti aram 2001 sebagai asas.

Menurut permohonan itu, selain wang berjumplah lebih AS340 juta berkenaan, kerajaan juga memfailkan larangan penggunaan wang yang disimpan dalam akaun bank atas nama Temple Fiduciary Services Limited.

Permohonan itu disokong afidavit pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohd Afiq Abd Aziz.

Berdasarkan afidavit, Mohd Afiq berkata wang sejumlah AS$340,258,246,87 juta itu berkait dengan konspirasi membabitkan bekas perdana menteri Najib Razak, Tarek dan Low Taek Jho ataupun Jho Low.

"Secara ringkas, saya sesungguhnya menyatakan bahawa saya mempunyai alasan munasabah untuk mempercayai bahawa AS$340,258,246.87 (setakat bulan Februari 2019) atau mana-mana jumlah daripada itu yang disimpan di dalam akaun escrow Cylde&Co.LLP London untuk atau bagi responden ke-3 (harta 1) merupakan sebahagian daripada hal perkara atau keterangan yang berhubung dengan Najib Razak dan/atau Tarek dan/atau Low Taek Jho serta individu-individu berkaitan atau anak syarikatnya," katanya.

Mahkamah Tinggi menetapkan 16 Julai untuk mendengar permohonan pihak pendakwaan berhubung perintah larangan Clyde & Co LLP menggunakan AS$340 juta itu.