Skip to main
Logo Malaysiakini

'Bank boleh lanjut moratorium pada golongan bersasar dengan saringan ketat'

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Moratorium bersasar dengan saringan yang ketat mampu memberikan penyelesaian menang-menang antara pihak bank dan peminjam dalam menghadapi kesan wabak Covid-19.

Ahli ekonomi Prof Barjoyai Bardai dari Universiti Tun Abdul Razak berkata, golongan sasaran itu harus dihadkan seminimum mungkin agar institusi perbankan tidak berdepan risiko kemungkinan hutang lapuk.

“Jadi mungkin caranya kita pastikan orang yang ditolong itu betul-betul memerlukan dan keduanya kita nak hadkan seminimum yang boleh.

“Kerajaan perlu tolong bank bagi membolehkan bank merasa lebih lega untuk penangguhan enam bulan lagi misalnya dengan memberi jaminan jika ada apa-apa berlaku seperti tak dapat kutip (pinjaman), kerajaan akan memberi bantuan," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Moratorium untuk semua pinjaman dan bayaran kewangan bermula sejak April lalu dan akan tamat September ini.

Bagaimanapun terdapat gesaaan agar ia dilanjutkan lagi terutama kepada golongan berpendapatan rendah, atas dasar kesan Covid-19 masih lagi dirasai misalnya dengan kadar pengangguran yang meningkat.

Menurut Barjoyai, antara alternatif lain yang boleh dipertimbangkan adalah pengurangan bayaran faedah agar golongan sasaran itu boleh membayar "sebahagian atau pinjaman pokok".

"Barangkali boleh dilaksanakan agar bank hanya mengutip ansuran pokok dan tidak meliputi faedah, maknanya kadar faedah ditangguh pada masa akan datang," jelasnya.

Bank perlu faedah untuk kelangsungan

Pensyarah ekonomi Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) Shazali Abu Mansor turut senada dengan Barjoyai, berkata institusi bank akan terjejas jika tempoh moratorium dilanjutkan dan tidak dapat mengenakan caj faedah.

“Bank perlu sangat memilih dan kena tengok berdasarkan kes (yang layak)...Mereka yang gaji ditolak misalnya mungkin dibolehkan membuat pengurangan bayaran terdahulu tanpa membayar faedah,” katanya sambil menambah bank berhak membuat pilihan yang tidak merugikan mereka.

Pada 28 Jun, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata lanjutan moratorium bersasar adalah terpulang kepada bank dan berpendapat bahawa bank perlu mengkaji bantuan yang disasarkan tetapi menekankan bank tidak boleh dipaksa untuk berbuat demikian berikutan ia dalam bidang kuasa mereka.

Prof Mohd Nazari Ismail dari Universiti Malaya (UM) menyuarakan kekesalannya terhadap kenyataan Tengku Zafrul itu.

“Malangnya sikap belas kasihan kepada peminjam bukan salah satu sifat industri perbankan. Oleh itu, saya rasa bank akan keberatan untuk lepaskan faedah sebab ia akan mengurangkan keuntungan dan menjejas prestasi pengurusan,” katanya.

Bagaimanapun beliau tetap berharap pihak bank dapat memberi kelonggaran kepada peminjam yang benar-benar tidak dapat membayar pinjaman mereka seperti dengan program pengampunan hutang.