Skip to main
Logo Malaysiakini

Pembangkang negeri minta penjelasan Yayasan Selangor tender aset RM45 juta

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

DUN S'GOR |  Ketua Pembangkang Selangor, Rizam Ismail meminta kerajaan negeri menjelaskan mengapa Yayasan Selangor yang berada di bawah kerajaan negeri menawarkan 77 hartanah miliknya.

Menurut Rizam Ismail, 77 aset hartanah yang telah dilelong oleh Yayasan Selangor menelan belanja lebih daripada RM45 juta, termasuk kondominium, rumah kedai, rumah berkembar dan sebagainya.

"77 aset tersebut melibatkan pelbagai jenis bangunan komersial dan unit-unit rumah di beberapa lokasi berlainan di seluruh selangor dengan nilai tawaran antara RM191,114 sehingga RM3.515 juta melibatkan jumlah keseluruhan RM45,137,043.92

"Amalan penjualan aset milik kerajaan negeri sama ada melalui agensi atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC) ni bukanlah perkara baru di bawah kerajaan PH di Selangor sebaliknya adalah rutin serta amalan malah semakin menjadi akhir-akhir ni.

"Kami juga memandang serius masalah kewangan, hala tuju serta perancangan strategik Yayasan Selangor termasuklah keputusan untuk menjual aset dua di bawah milikannya," kata Adun Sungai Air Tawar pada sidang akhbar di bangunan Dewan Undangan Negeri di Shah Alam hari ini.

Rizam menegaskan penjualan aset untuk mendapatkan aliran tunai dalam jangka masa pendek tidak boleh diterima dan mengabaikan mandat Yayasan Selangor.

Sehubungan itu, beliau menggesa Menteri Besar Selangor Amirudin Shari untuk memberi penjelasan dan mempertimbangkan untuk menarik balik tender tersebut.

"Saya dah bawa ini dalam dewan kita mungkin akan dengar penjelasan MB waktu penggulungan tapi kita memang minta agar penjualan bangunan ini dihentikan.

"Ini dalam tender, tender boleh tarik lagi, ada berapa hari ini kaji semula," kata Rizam.

Dalam pada itu, Adun Sementa Dr Daroyah Alwi yang menghadiri sidang media bersama Rizam hari ini juga mengingatkan kerajaan negeri agar tidak melupakan niat dan fungsi Yayasan Selangor.

Daroyah mendedahkan bahawa beliau pernah menjadi salah seorang penerima manfaat Yayasan Selangor dan memuji yayasan yang telah membantu menyokong ramai pelajar untuk menjadi profesional di Selangor.

"Kalau saya boleh petik berapa ramainya anak-anak bekas Yayasan Selangor yang ada di seluruh Selangor, mereka sekarang orang berjaya, profesional dalam negeri ini.

"Yayasan Selangor harus terus juga berfungsi seperti mana ia mula-mula ditubuhkan, bawa hasrat jaga kebajikan dan juga pendidikan anak-anak Selangor," kata Daroyah yang baru-baru ini mengumumkan menjadi Adun bebas selepas beliau dipecat daripada PKR bulan lalu.

Untuk rekod, Yayasan Selangor ialah badan kebajikan pendidikan negeri yang memberikan bantuan pendidikan seperti pinjaman pelajaran kepada anak Selangor.

Pada masa ini, Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan Selangor ialah Amirudin Shari, dan antara enam ahli lembaga yayasan itu termasuklah setiausaha kerajaan negeri serta pengarah Jabatan Pelajaran Selangor.