Palestin sedia runding jika Israel batal rancangan rampas wilayah di Tebing Barat
Presiden Mahmoud Abbas pada Selasa berkata rakyat Palestin bersedia meneruskan rundingan damai yang tertangguh, jika Israel menghentikan rancangannya untuk aneksasi atau merampas sebahagian wilayah Tebing Barat, lapor agensi berita Xinhua.
Beliau berkata demikian dalam perbualan telefon dengan Perdana Menteri Britain Boris Johnson pada Selasa malam, memetik agensi berita Palestin WAFA.
Pemimpin Palestin itu memberitahu Johnson, Kuartet Antarabangsa dan negara-negara lain harus menaja sebarang rundingan damai dengan Israel serta perlu bersandarkan kepada resolusi antarabangsa.
Abbas turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Johnson yang menyokong usaha damai dan menolak rancangan Israel itu.
Dua bulan lalu Abbas membatalkan semua perjanjian dan persefahaman yang disepakati dengan Israel dan Amerika Syarikat (AS), termasuk perjanjian keselamatan, sebagai membantah rancangan Israel.
Rundingan damai antara Israel dan Palestin terhenti sejak 2014 selepas AS menjadi penaja selama sembilan bulan tanpa mencapai sebarang kemajuan, disebabkan perbezaan Israel-Palestin mengenai isu berkaitan keselamatan dan sempadan.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai