Skip to main
Logo Malaysiakini

Peguam tak sihat, bicara kes rasuah projek solar Rosmah ditangguh

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

KES ROSMAH | Perbicaraan kes rasuah berkaitan projek solar hibrid untuk sekolah di pedalaman Sarawak membabitkan isteri bekas perdana menteri, Rosmah Mansor ditangguhkan untuk hari ini.

Menurut timbalan pendakwa raya Gopal Sri Ram, ini kerana salah seorang peguam Rosmah, Akberdin Abdul Kader yang sepatutnya memeriksa balas saksi hari ini tidak sihat.

"Dia peguam yang ditugaskan untuk menyoal balas saksi (hari ini). Jadi kami (pendakwaan) tiada pilihan selain tidak membantah.

"Dia tak dapat bercakap (dengan baik)," katanya kepada media selepas keluar daripada kamar hakim Mohamed Zaini Mazlan bersama pasukan pembelaan.

Akberdin mengesahkan keadaan kesihatannya yang kurang baik kepada media semasa berjalan keluar dari mahkamah.

Perbicaraan akan diteruskan semula pada 3 Ogos nanti.

Semalam, saksi ke-16, Rayyan Radzwill Abdullah yang merupakan rakan perniagaan Jepak Holdings Sdn Bhd (Jepak) telah diperiksa balas balas oleh Akberdin.

Rosmah berdepan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima suapan sebanyak RM6.5 juta daripada Saidi, sebagai upah membantu Jepak mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid, serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar Sarawak.

Projek itu bernilai RM1.25 bilion, diperoleh secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan Malaysia.