Skip to main
Logo Malaysiakini

Kes gangguan seksual: UM dah ambil tindakan pada pensyarah

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Universiti Malaya (UM) sudah mengambil tindakan terhadap individu dalam terbabit dalam kes gangguan seksual ke atas seorang siswinya seperti dilaporkan Malaysiakini semalam.

Dalam satu kenyataan media hari ini, Naib Canselor UM Abdul Rahim Hashim memberitahu universiti berkenaan telah membuat siasatan serta-merta sebaik saja aduan diterima.

Katanya lagi, pelaku juga ditahan kerja, dihadapkan ke jawatankuasa tatatertib dan dikenakan hukuman berdasarkan Peraturan-Peraturan Tatatertib Badan-Badan Berkanun.

"Walau bagaimanapun, ingin dijelaskan bahawa pihak universiti terikat dengan tatacara pengendalian yang menuntut kami menjaga kerahsiaan dan hak privasi semua pihak yang terlibat," katanya dalam kenyataan tersebut.

Peraturan-Peraturan Tatatertib Badan-Badan Berkanun yang dimaksudkan ialah Jadual 2 dalam Akta Badan-badan Berkanun (Tatatertib dan Surjac) 2000.

Di bawah seksyen 40 akta itu, pegawai yang didapati bersalah atas suatu kesalahan tatatertib termasuklah boleh dikenakan tindakan seperti diberi amaran, didenda, lucut hak emolumen, tangguh pergerakan gaji, turun gaji, turun pangkat atau dibuang kerja.

Semalam, seorang siswi membuat laporan polis kerana mendakwa mengalami gangguan seksual oleh seorang profesor madya. Laporan tersebut, katanya, dibuat selepas UM didakwanya enggan mendedahkan hasil siasatan dalaman mereka. 

Cegah kejadian sama berulang

Pensyarah itu didakwa memeluk siswi terbabit serta mengajukan soalan yang mengganggu privasinya dalam kejadian pada 3 Jun lalu. Kata siswi berkenaan kejadian itu berlaku di pejabat pensyarah berkenaan.

Siswi berkenaan telah membuat aduan menerusi emel kepada Unit Integriti UM pada 1 Julai, namun tidak mendapat apa-apa respons sehingga memaksanya bertanyakan hal itu sendiri pada 11 Julai lalu di pejabat unit berkenaan.

Malaysiakini

Dakwanya, unit tersebut memaklumkan bahawa pensyarah itu telah dihukum, tetapi mereka enggan mendedahkan jenis hukuman atau apa tindakan yang diambil dengan mendakwa bahawa maklumat itu adalah rahsia.

Ketika dihubungi Malaysiakini bagi mendapatkan penjelasan berhubung tindakan merahsiakan hukuman terhadap pelaku hari ini, pihak UM mengesahkan ia tertakluk di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi.

"UM amat kesal dan prihatin terhadap kejadian yang menimpa pelajar kami ini," kata Abdul Rahim lagi dalam kenyataannya.

Tambahnya, aduan gangguan pelajar melibatkan pelajar dan kakitangan memang dipandang serius, justeru pelbagai usaha dibangunkan bagi mencegah kejadian seumpama itu di kampus.

UM juga, katanya, komited menambah baik usaha pencegahan dan pengendalian kes ganggguan seksual agar ia dapat diurus demgan lebih berkesan lagi.