Skip to main
Logo Malaysiakini

Abang Johari ulangi tuntutan satu pertiga kerusi parlimen untuk S'wak, Sabah

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Ketua Menteri Sarawak, Abang Johari Openg sekali lagi menuntut agar Sarawak dan Sabah diberikan satu pertiga daripada kerusi di Parlimen.

Menurutnya, perkara itu penting untuk mengembalikan semula kedudukan dua negeri berkenaan di Dewan Rakyat setelah Singapura meninggalkan Malaysia pada tahun 1965.

Abang Johari yang juga pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), menyatakan kebimbangan bahawa sebarang pindaan perlembagaan hanya akan dilakukan berdasarkan kepentingan Semenanjung yang memiliki dua pertiga kerusi Dewan Rakyat.

Pada masa ini, Sarawak menguasai 31 kerusi parlimen sementara Sabah 25 kerusi parlimen -  menjadikannya 56 kerusi parlimen - kurang 18 kerusi untuk membentuk satu pertiga.

Angka itu bagaimanapun tidak termasuk kerusi Parlimen Labuan.

Semenanjung pula menguasai 166 kerusi parlimen secara keseluruhan.

“Sabah dan Sarawak sepatutnya mesti mengekalkan satu pertiga daripada 222 kerusi dan sekiranya ini tidak berlaku, agihan kuasa dalam parlimen hanya akan bergantung kepada Semenanjung.

“Kita (Sarawak) tahu perlembagaan boleh dipinda sekiranya mereka memiliki lebih daripada dua pertiga, Sabah dan Sarawak kurang satu pertiga, perlembagaan boleh dipinda,” ujarnya seperti dipetik Astro Awani.

Pada Februari lalu, Abang Johari dilapor meminta kerajaan persekutuan menambah bilangan kerusi di Sabah dan Sarawak melalui reformasi pilihan raya yang dilakukan oleh Jawatankuasa Pembaharuan Pilihan Raya yang dipengerusikan oleh Abdul Rashid Abdul Rahman.

Timbalan presiden Warisan, Darell Leiking sebelum ini juga membuat gesaan serupa.

Semasa penubuhan Malaysia pada tahun 1963, Semenanjung menguasai dua pertiga kerusi parlimen sementara satu pertiga lagi dikuasai Sabah, Sarawak dan Singapura.

Pada masa itu, Semenanjung menguasai 104 kerusi parlimen sementara Singapura 15 kerusi, Sabah 16 kerusi dan Sarawak 24 kerusi.

Bagaimanapun apabila Singapura keluar dari Malaysia pada 1965, sebanyak 15 kerusi parlimen tidak diagihkan kepada Sarawak dan Sabah.