Skip to main
Logo Malaysiakini

Kes gangguan seksual: Kumpulan siswa gesa VC UM letak jawatan

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Persatuan Belia Baru Universiti Malaya (Umany) berkata Naib Canselor UM Abdul Rahim Hashim perlu meletakkan jawatan kerana menurut mereka cuai dalam mengendalikan dakwaan gangguan seksual melibatkan seorang profesor madya.

Umany mendakwa, kenyataan Abdul Rahim berkenaan perkara itu yang dilaporkan media - bahawa tindakan telah diambil terhadap profesor madya itu tetapi tidak menyatakannya secara jelas atas dasar kerahsiaan - adalah satu cubaan untuk "menutup" kes-kes gangguan seksual terhadap pelajar yang telah dilaporkan.

"Naib Canselor bertindak berani apabila membuat laporan polis terhadap pelajar universiti yang membuat bantahan terhadap perkauman.

"Sekarang persoalannya mereka dia tidak boleh buat perkara sama ketika pelajar menjadi mangsa gangguan seksual seorang pensyarah? Mengapa tutup perkara ini?" kata Umany dalam kenyataan.

"Umany menggesa naib canselor untuk meletakkan jawatan dan beri ruang untuk pembaharuan organisasi dalam Jawantakuasa Disiplin dan Unit Integriti. Hanya dengan cara itu punca utama dapat ditangani," kata mereka lagi.

Abdul Rahim Hashim

Pada Rabu lalu, seorang pelajar Universiti Malaya membuat laporan polis terhadap seorang profesor madya yang didakwa membuat gangguan seksual terhadapnya, dan berkata pihak universiti gagal bertindak secara berkesan dan enggan mendedahkan hasil siasatan dalaman.

Menurut pelajar yang hanya ingin dikenali sebagai "Ching" itu, kejadian yang melibatkan sentuhan fizikal berlaku di pejabat profesor madya itu di kampus pada 3 Jun 2019.

Sebelum ini, dia telah membuat laporan rasmi kepada Unit Integriti Universiti Malaya - yang di bawah bidang kuasa Abdul Rahim - pada 1 Julai 2019.

Semalam, Abdul Rahim berkata pihak universiti telah membuat siasatan dan mengambil tindakan terhadap profesor madya tersebut berdasarkan Peraturan-Peraturan Tatatertib Badan-Badan Berkanun.

"Walau bagaimanapun, ingin dijelaskan bahawa pihak universiti terikat dengan tatacara pengendalian yang menuntut kami menjaga kerahsiaan dan hak privasi semua pihak yang terlibat," katanya.

Umany berkata lagi, keadilan tidak akan tertegak dalam kes ini kerana difahamkan profesor madya itu dihukum dengan penurunan pangkat, dan ia hanya dijatuhkan selepas persaraannya bulan lalu.

"Jika begitu, ia hanya menyebabkan pencen yang berkurang dan kesan terhadap kerjaya, yang tidak relevan dalam kes ini. Ia tidak memberi kesan kepada pensyarah yang masih mempunyai pendapatan tinggi," katanya lagi, sambil mengambil maklum bahawa Unit Integriti telah menghubungi sejumlah lagi pelajar yang mendakwa turut menjadi mangsa individu yang sama, sepanjang siasatannya.

Secara keseluruhan, menurut Umany, pentadbiran Universiti Malaya telah gagal menjatuhkan hukuman yang mampun mencegah perkara sama daripada berulang.

Malaysiakini sebelum ini telah menghubungi profesor madya terbabit untuk memberi responsnya.