Skip to main
Logo Malaysiakini

Peguam dakwa bekas CEO perdaya 1MDB peranan IPIC sebagai penjamin bon

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

KES 1MDB NAJIB | Pasukan pembelaan menuduh bekas CEO 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi memperdaya lembaga pengarah syarikat itu kerana tidak membuat penelitian terhadap dokumen bon berjumlah AS$1.75 bilion, yang tidak menyatakan International Petroleum Investment Company akan bertindak sebagai penjamin.

Peguam Wan Aizuddin Wan Mohammed berkata demikian ketika pemeriksaan balas dengan Shahrol yang merupakan saksi pendakwaan kesembilan kes rasuah terhadap bekas perdana menteri Najib Razak melibatkan dana berkaitan 1MDB berjumlah RM2.28 bilion.

Wan Aizuddin menyoal Shahrol berhubung sebab IPIC tidak disenaraikan sebagai penjamin dalam beberapa dokumen berkaitan bon itu.

Antaranya ialah perjanjian agensi antara 1MDB, subsidinya 1MDB Energy (Langat) Limited, Bank of New York Mellon (cawangan London), Bank of New York Mellon (Luxemborg) S.A dan BNY Mellon Corporate Trustee Services Limited, yang bertarikh 19 Oktober 2012.

IMDB dan IPIC memeterai perjanjian enter-guarantor berkenaan bon pada Mei 2012.

Sejumlah bon bernilai AS$1.75 bilion merupakan sebahagian daripada pembiayaan yang diperolehi 1MDB untuk mendapatkan pengeluar tenaga bebas (IPP), iaitu Tanjong Energy Holdings Bhd daripada Ananda Krishnan dan Genting Sanyen Power Sdn Bhd daripada Genting Bhd.

Ketika Wan Aizuddin bertanya Shahrol di mana IPIC dalam perjanjian yang diserahkan sebagai eksibit mahkamah, dia berkata tidak dapat menjelaskannya kerana dokumen itu disediakan oleh pegawai perundangan 1MDB ketika itu, Jasmine Loo dengan input daripada Goldman Sachs.

Goldman Sachs merupakan bank pelaburan yang dilantik 1MDB untuk menjadi penasihat bagi pengeluaran bon.

Shahrol mengakui bahawa dia tidak membaca seluruh dokumen yang dibawa ke perhatiannya oleh Loo, sebelum menandatanganinya.

Wan Aizuddin: Adakah anda beritahu bahawa untuk nota AS$1.75 bilion melibatkan jaminan daripada 1MDB, anda hanya tandatangan (satu halaman dalam dokumen) tanpa meneliti keseluruhannya? Anda CEO (1MDB).

Shahrol: Ya.

Wan Aizuddin: Tindakan memandang enteng ini memiliki tujuan kerana anda terlibat dalam komplot dan konspirasi dengan Jamine Loo, Jho Low, Goldman Sachs, (pengarah urusan IPIC ketika itu) Khadem Al-Qubaisi dan (CEO Aabar Investmens PJS) Mohamed Badawy al-Husseini, untuk menggelapkan wang.

Shahrol: Tidak setuju.

Wan Aizuddin: Sebagai CEO dan pengarah urusan 1MDB, anda gagal bertindak demi kepentingan syarikat dan (penuhi) tugas fidusiari anda kepada syarikat dengan membiarkan perkara ini berlaku.

Shahrol: Tidak setuju.

Sementara itu, Shahrol setuju dengan cadangan peguam itu bahawa kemungkinan kadar faedah tahunan alternatif 5.75 peratus untuk bon tersebut tidak dibawa ke lembaga pengarah 1MDB.

Wan Aizuddin merujuk kepada Memorandum Penempatan Tertutup (private placement memorandum) 1MDB Energy (Langat) bertarikh 17 Oktober 2012, melibatkan nota jaminan 5.75 peratus berjumlah AS$1.75 bilion yang tamat 2022.

Shahrol juga setuju dengan Wan Aizuddin yang mengatakan Goldman Sachs tidak memberikan apa-apa bukti kepada lembaga pengarah 1MDB bahawa faedah 5.75 peratus adalah kadar terbaik yang mampu diperolehinya.

Menurutnya lagi, dia bersetuju saja dengannya kerana pada masa itu dia menganggap ia sudah pun diputuskan di peringkat tertinggi, antaranya ekoran dakwaan penglibatan aspek kerajaan-dengan-kerajaan dalam keseluruhan perkara itu, serta kertas kerja oleh Loo dan Goldman Sachs.

Katanya lagi, aspek kerajaan-dengan-kerajaan ditekankan dengan dakwaan penglibatan Najib dan putera mahkota Emiriah Arab Bersatu (UAE), di mana IPIC berpangkalan.

Prosiding di depan hakim Collin Lawrence Sequerah pada 3 Ogos ini.

Najib kini dibicarakan atas emapt tuduhan salah guna kuasa bagi mendapatkan suapan dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram berkaitan RM2.28 dana berkaitan 1MDB.