Skip to main
Logo Malaysiakini

Pelihara kedaulatan melalui kepimpinan M’sia, kesatuan matlamat Asean

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

ULASAN | Bulan lalu, para pemimpin Asia Tenggara – termasuk Perdana Menteri Muhyiddin Yassin – mengeluarkan satu kenyataan keras pada Sidang Kemuncak Asean, yang bersetuju bahawa perselisihan di Laut China Selatan mesti diselesaikan selaras dengan undang-undang antarabangsa, termasuk Konvensyen PBB mengenai Undang-Undang Laut (Unclos) .

Mesej itu tepat pada waktunya, kerana pada 12 Julai ini merupakan ulang tahun keputusan oleh Tribunal Timbang Tara Laut China Selatan pada 2016, yang menolak tuntutan maritim melampau Republik Rakyat China (RRC) di perairan di bawah jurisdiksi Filipina sebagai tidak berasas di bawah undang-undang antarabangsa.

Kenyataan Asean itu menjadi teguran terhadap peningkatan pangkalan ketenteraan Beijing melalui penambakan laut dan pembinaan yang merosakkan di Kepulauan Spratlys yang dipertikaikan dengan pengerahan pesawat baharu dan apa yang disebut "stesen penyelidikan.”

Amerika Syarikat memuji kesatuan matlamat Asean dan impak jelas yang dimiliki oleh negara-negara anggota Asean dalam memelihara kebebasan bergerak serantau dan antarabangsa.

Seperti yang dinyatakan oleh Setiausaha Negara AS Mike Pompeo pada 13 Julai, "Tuntutan Beijing terhadap sumber luar pesisir di sebahagian besar Laut China Selatan sama sekali tidak sah, seperti juga kempen bulinya untuk menguasai sumber-sumber ini.”

Setiausaha menambah bahawa di Laut China Selatan "kami berusaha untuk memelihara keamanan dan kestabilan, menegakkan kebebasan di laut dengan cara yang konsisten dengan undang-undang antarabangsa, mengekalkan aliran perdagangan tanpa dihalang, dan menentang segala usaha melalui paksaan atau kekuatan untuk menyelesaikan perselisihan.”

Tuntutan maritim RRC yang meluas di Laut China Selatan tidak mempunyai asas perundangan dalam undang-undang antarabangsa. Ini termasuk tuntutan maritim RRC "berdasarkan Nanhai Zhudao" dan tuntutannya untuk "hak bersejarah di Laut China Selatan", serta desakannya bahawa Beting Serupai (James Shoal) ialah bahagian paling selatan China.

Beting Serupai mempunyai jarak kurang daripada 50 batu dari Malaysia, dan 70 kaki di bawah air. Tuntutan Beijing terhadap Beting Serupai nampaknya berasal dari atlas Inggeris lama dan kesalahan terjemahan yang mengatakan bahawa beting di dasar laut itu sebagai tebing pasir di permukaan laut.

Ia sebenarnya tidak benar, dan perkara ini menimbulkan beberapa soalan: Apakah objektif RRC dalam menegaskan tuntutan wilayah yang tidak sah yang begitu hampir dengan Malaysia? Kenapakah RRC membuat tuntutan yang mengelirukan, memutar belit fakta, dan melanggar prinsip undang-undang antarabangsa yang kukuh ini?

Keputusan oleh Tribunal Timbang Tara adalah jelas, muktamad, dan mengikat secara perundangan kepada China dan Filipina dalam menangani perselisihan maritim mereka. Namun Beijing memilih untuk tidak mengendahkan keputusan itu, dan memberi amaran bahawa sesiapa yang tidak menerima tuntutannya di Laut China Selatan pasti akan menerima kegagalan.

Awal tahun ini, RRC mengumumkan kempen penguatkuasaan undang-undang maritim baharu yang disebut "Laut Biru 2020." Tujuannya seperti yang diumumkan China adalah untuk "meningkatkan perlindungan alam sekitar laut," tetapi tujuan sebenarnya nampaknya memberi tumpuan pada memperkukuhkan pangkalan tentera China di Kepulauan Spratlys yang dipertikaikan dengan pengerahan pesawat baharu, memperluas "stesen penyelidikan," dan melakukan intimidasi terhadap eksplorasi minyak dan gas luar pesisir oleh negara-negara lain.

Akses ke Laut China Selatan sangat penting bagi kemakmuran ekonomi dan keamanan negara-negara Asia Tenggara, selain menjadi nadi kehidupan masyarakat pesisir pantai dan mata pencarian berjuta-juta rakyat mereka. Gangguan terhadap kapal di laut menghalang negara-negara Asia Tenggara mengakses sumber-sumber di luar pesisir mereka, seperti dalam kes West Capella - kapal pengorek yang disewa oleh Petronas - diekori oleh kapal penyelidikan milik kerajaan China Haiyang Dizhi 8 dan kapal pengawal pantai bersenjata dan kapal militia maritim China.

Amerika Syarikat menyokong aturan bebas dan terbuka berdasarkan peraturan yang menegakkan hak kedaulatan dan kepentingan semua negara tanpa mengira saiz, kuasa, dan kemampuan ketenteraan mereka. Semua negara yang memiliki visi ini bukan sahaja perlu bimbang dengan apa yang sedang terjadi, tetapi juga perlu bersikap lantang dan jelas melalui tindak balas yang menampakkan kohesif dan kerjasama.

Pada tahun 2010, seorang diplomat kanan Beijing memberitahu rakan-rakan sejawatnya dari Asia Tenggara: "China ialah negara besar dan negara lain adalah negara kecil, dan itu adalah fakta.” Selama lebih 10 tahun terakhir, ini merupakan pemikiran Beijing terhadap Laut China Selatan.

Berdasarkan undang-undang antarabangsa, tuntutan maritim Beijing di Laut China Selatan adalah tidak berasas. Tindakan terbaru oleh satu-satu negara tidak patut menjejaskan hak kedaulatan negara lain.


KAMALA SHIRIN LAKHDHI ialah duta Amerika Syarikat ke Malaysia.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.