Skip to main
Logo Malaysiakini

Polis nafi pelacuran di hotel di Muar

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Polis Johor hari ini menafikan dakwaan kononnya terdapat aktiviti pelacuran di sebuah hotel di Jalan Haji Abu Bakar, Muar, yang gambarnya tular di media sosial Rabu lepas.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata gambar itu yang dikongsikan menerusi satu akaun Facebook adalah gambar lama yang ditular semula bagi menunjukkan pihak polis tidak mengambil sebarang tindakan.

Sebaliknya, hotel tersebut telah diserbu sebanyak tiga kali iaitu masing-masing pada 10 Jun dan 4 Sept 2018 serta 11 Julai tahun lalu.

Ayob Khan berkata menerusi serbuan terbabit, seramai 19 individu ditangkap termasuk dua wanita dan lima lelaki warga asing dengan kesemuanya sudah disiasat, telah didakwa mengikut Seksyen 372 A dan Seksyen 372 B Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63.

“Bertindak atas maklumat tersebut (gambar ditularkan), sepasukan polis membuat pemeriksaan ke atas premis tersebut dan mendapati ia tutup dan sudah tidak beroperasi sejak Mac lalu,” katanya dalam kenyataan di Johor Bahru hari ini.

Beliau berkata kawasan itu adalah tumpuan warga asing melepak terutama pada hujung minggu kerana berdekatan dengan bank-bank dan kedai telefon bimbit.

Ayob Khan berkata polis mengalu-alukan maklumat orang awam berhubung kegiatan jenayah, namun mereka dinasihatkan supaya tidak menyalahgunakan media sosial untuk menyebarkan berita palsu dan tidak sah, tanpa mengetahui perkara yang sebenar.

- Bernama