Kem Mahathir mahu bincang dulu dengan PH
PRK SLIM | Kumpulan Bersatu yang setia kepada Dr Mahathir Mohamad memberitahu mereka mahu berbincang dengan rakan pembangkang dalam Pakatan Harapan (PH) sebelum memutuskan untuk meletakkan calon atau tidak di Slim.
Senator Marzuki Yahya juga berkata kumpulannya juga tidak menolak kemungkinan untuk meletakkan calon walaupun bertembung dengan PKR jika keadaan memerlukan.
"Kami belum buat keputusan lagi buat masa ini tetapi ada juga cadangan untuk kami letakkan calon.
"Tapi perkara ni kita akan bincang juga dengan rakan-rakan PH dan kami rasa terlalu awal untuk buat sebarang pengumuman," katanya kepada Malaysiakini.
Kerusi Dewan Undangan Negeri Slim kosong berikutan kematian mengejut penyandangnya, Khusairi Abdul Talib, di Hospital Bentong pada 15 Julai lalu.
Beliau merupakan Adun yang mempertahankan kerusi tersebut selama empat penggal atau sejak 2004.
Dalam PRU ke-15 lalu Khusairi memenanginya dengan mengalahkan calon PH, Mohd Amran Ibrahim; serta Muhammad Zulfadli Zainal dari PAS. Arwah memperoleh 8,327 undi dan mengatasi lawan terdekat dengan 2,183 undi.
Terdapat lebih 23,300 pengundi berdaftar untuk kawasan Slim.
Pada PRU lalu Mohd Amran merupakan calon dari Bersatu. Bersatu pula secara umumnya kini bekerjasama dengan BN dan PAS untuk membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN), kecuali sebahagian daripada pemimpinnya yang digelar sesetengah pihak sebagai Bersatu Berprinsip.
Terlalu awal buat ketetapan
Pada 16 Julai, Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, membuat kenyataan bahawa mereka akan meletakkan calon di kawasan itu dalam PRK tidak lama lagi.
Menurut Marzuki dalam perbincangan itu nanti mereka akan membuat penilaian sebelum membuat keputusan akhir.
Pun begitu beliau mengingatkan kumpulan mereka kini merupakan blok bebas.
"Kalau mereka masih nak letakkan calon dan kita nak letakkan calon, kita lawanlah walaupun sama-sama pembangkang," katanya.
Bekas timbalan menteri luar itu juga berkata, dalam sesuatu pilihan raya semua pihak mempunyai peluang untuk menang.
Ditanya lebih lanjut Marzuki berkata pada PRU ke-14 dulu kerusi Slim diperuntukkan kepada Bersatu, bukannya PKR.
"Dalam PRK Chini, kerusi itu sepatutnya untuk PKR tapi mengapa PKR tak bertanding?
"Tiba-tiba di Slim ni PKR nak bertanding... terlalu awal buat keputusan nak bertanding," katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai