Skip to main
Logo Malaysiakini

Perlu petunjuk dinamik gambar tahap kemiskinan sebenar - Pakar

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Penunjuk yang bersifat lebih dinamik diperlukan bagi menentukan garis kemiskinan dalam melambangkan realiti taraf hidup masyarakat di Malaysia, kata pakar.

Penganalisis ekonomi Dr Madeline Berma berkata ukuran tidak boleh bersandarkan kepada nilai purata Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) semata-mata, sebaliknya mengambil kira faktor saiz keluarga supaya definisi kemiskinan menjadi lebih tepat.

“Contohnya individu berpendapatan RM10,000 berbanding dengan keluarga mempunyai empat anak berpendapatan RM6,000, ia (taraf hidup) tak sama,” katanya dalam program Suara Profesor Negara terbitan Bernama TV yang disiarkan menerusi Facebook semalam, mengulas berkenaan kadar baharu PGK nasional sebanyak RM2,208 berbanding RM980 yang diguna pakai sejak 2015.

Madeline yang juga Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia berkata faktor lokaliti, status isi rumah juga memainkan peranan dalam menentukan taraf hidup sebenar masyarakat.

“Ia termasuklah faktor tempat tinggal sama ada di bandar raya, bandar, luar bandar atau pedalaman selain status ibu tunggal dan sebagainya serta faktor wilayah sama ada di Sabah, Sarawak atau Semenanjung.

“Sekarang ia (faktor) diambil kira tetapi elemen itu tidak begitu menyerlah, itu yang menimbulkan kekecewaan. Pendapatan RM2,208 bagi orang Penan (pedalaman Sarawak) itu dah kaya raya, sedangkan kalau di bandar sekurang-kurang pendapatan perlu RM3,000,” katanya.

Sementara itu, penganalisis ekonomi yang juga bekas Dekan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Mohd Fauzi Jani berkata pendekatan dalam menangani kemiskinan perlu segera diubah dengan mengambil kira sumber dana seperti zakat dalam membantu kumpulan berpendapatan rendah (B40) meningkatkan taraf hidup.

Mohd Fauzi berkata tanggungjawab membasmi kemiskinan tidak boleh diletakkan pada bahu kerajaan semata-mata sebaliknya ia perlu bermula di peringkat akar umbi termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Banyak sumber-sumber kewangan yang kita boleh fikirkan boleh membantu kerajaan, maka masyarakat di setiap kawasan boleh berusaha dapatkan atau kumpul dana dan menyasarkan asnaf dan komuniti untuk kita bantu, di samping mereka dapat bantuan kerajaan,” katanya.

Tambahnya, satu pusat atau sistem bersepadu perlu diwujudkan bagi mengumpul data golongan B40 daripada segala aspek seperti kesihatan dan pendidikan bagi memastikan tiada yang tercicir daripada mendapat bantuan.

- Bernama