Skip to main
Logo Malaysiakini

Transgender: Ambiga jangan campur urusan undang-undang Islam - Zamihan

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Pesuruhjaya Suruhanjaya Pakar Undang-undang Antarabangsa (ICJ) Ambiga Sreenavasan diingatkan supaya tidak mencampuri urusan berkaitan dengan hal ehwal undang-undang Islam di negara ini.

Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (Aswaja), Zamihan Mat Zin berkata "lesen penuh" yang diberikan menteri agama kepada pihak berkuasa bagi menangani transgender tidak bercanggah dengan hak asasi manusia.

"Ambiga tak perlu masuk campur dalam urusan perundangan Islam di negara ini dan tak perlu menjadi batu api kepada kumpulan yang menghadapi kecelaruan jantina sebab beliau sendiri seorang wanita bukannya transgender.

"Transgender bukan satu hak kepada hak asasi manusia. Sebaliknya ia merupakan pilihan manusia untuk hidup secara menentang normal kemanusiaan itu sendiri.

"Transgender merupakan satu pencabulan kepada nilai kemanusiaan yang sedia ada anugerah Tuhan.Semua agama menentang transgender kerana ia mengubah fitrah insan," katanya kepada Malaysiakini.

Tapi tekankan aspek tarbiah

Terdahulu, Suruhanjaya Pakar Undang-undang Antarabangsa (ICJ) menggesa Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Zulkifli Mohamad membatalkan arahan memberikan "lesen penuh" kepada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) untuk mengambil tindakan terhadap transgender.

"ICJ meminta menteri untuk membatalkan arahan itu dengan segera dan mengambil langkah-langkah bagi memastikan perlindungan yang sama dan tiada diskriminasi terhadap semua orang di Malaysia, termasuk golongan LGBT," kata ICJ dalam satu kenyataan.

Ambiga selaku pesuruhjaya ICJ berkata, serangan bersifat transfobia dan homofobia daripada pegawai kerajaan adalah tidak boleh diterima, dan menunjukkan prasangka masyarakat dan kurangnya perlindungan undang-undang berkenaan diskriminasi yang dihadapi komuniti transgender.

"Berbanding memastikan hak asasi dan martabat semua orang dihormati dan dilindungi, menteri melalui kenyataannya telah melakukan perkara yang bertentangan dengan mengambil tindakan tehadap golongan transgender.

"Menteri mengabsahkan gangguan, diskriminasi dan kekerasan terhadap komuniti transgender," katanya lagi.

Pada 10 Julai lalu Zulkifli memberi "lesen penuh" kepada penguat kuasa Jawi untuk mengambil tindakan terhadap transgender mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Pun begitu menurut Zulkifli, tindakan yang akan diambil bukan hanya melibatkan tangkapan semata-mata, sebaliknya "tarbiah" yang lebih utama.

Langkah tersebut menurut anggota Dewan Negara itu agar golongan terbabit dapat kembali ke pangkal jalan.

Sementara itu, pendakwah bebas yang juga penceramah perbandingan agama, Nurul Haq Shahir (gambar, atas) berkata kerajaan mesti menyekat ICJ yang cuba memperjuangkan kebebasan dan kesamarataan kepada kumpulan transgender.

Beliau berkata "kekeliruan identiti jantina" itu akan memberi kesan bukan saja kepada kehidupan sosial masyarakat, tetapi juga sistem perundangan sivil negara jika perjuangan ICJ kepada kumpulan itu dibenarkan.

"Sebelum bersuara mengenai hak asasi manusia, Ambiga harus terlebih dahulu menghormati latar belakang budaya dan keluarga, dan kepercayaan individu.

"Serta harus menyedari bahawa perkembangan dan tingkah laku seksual setiap individu tidak boleh berlaku dalam keadaan kosong tetapi sebaliknya berkaitan dengan aspek lain dari seseorang berkait kehidupan dan kod moral, etika dan agama," jelasnya.