Skip to main
Logo Malaysiakini

Negara Barat dibelenggu Islamofobia berhubung isu Hagia Sophia - Hadi

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah, Abdul Hadi Awang menyatakan keprihatinannya terhadap sesetengah negara Barat yang memprotes keputusan Turki menukar muzium bersejarah Hagia Sophia menjadi sebuah masjid.

Beliau yang juga merupakan Presiden PAS berkata negara-negara ini menunjukkan bahawa mereka masih dibelenggu dengan elemen Islamofobia.

“Ia mengelirukan mengapa negara-negara Barat di seluruh dunia memprotes penukaran ini.

"Mereka seharusnya bersikap tegas menyokong sekularisme yang memisahkan agama dari politik.

"Oleh itu, jelas bahawa mereka masih dibelenggu dengan Islamofobia yang mereka ciptakan sendiri," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan baru-baru ini mengumumkan penukaran Hagia Sophia setelah mahkamah membatalkan status muzium di tapak tersebut.

Untuk rekod, bangunan Hagia Sophia - atau Ayasofia - asalnya dibina empayar Rom Timur sebagai gereja besar pada abad keenam Masihi sebelum diubah menjadi masjid oleh kerajaan Uthmaniyah pada 1453.

Statusnya sekali lagi bertukar apabila kerajaan sekular Turki, iaitu sewaktu pemerintahan Kemal Ataturk menjadikannya muzium pada 1934.

Abdul Hadi menambah, ketika negara-negara Barat melakukan serangan dengan mengkritik pengumuman baru mengenai Hagia Sophia itu, mereka bagaimanapun tetap mengunci mulut perihal isu rampasan masjid di sekitar kawasan Timur Tengah.

“Mereka tetap berdiam diri terhadap Zionis yang merancang untuk merampas dan merobohkan masjid Al-Aqsa yang dahulunya menjadi kiblat pertama (arah solat) bagi umat Islam.

"Begitu juga, ribuan masjid Islam yang dimusnahkan dan dirampas di Sepanyol, termasuk di Cordoba dan tempat lain seperti masjid Babri di India," katanya.