Azmin, Irwan berbalah mengenai unjuran KDNK 2021
Bekas ketua setiausaha perbendaharaan, Irwan Serigar Abdullah hari ini berbalah dengan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Azmin Ali mengenai unjuran pertumbuhan bagi tahun 2021.
Ini berlaku selepas Azmin memetik laporan antarabangsa yang mengunjurkan bahawa pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia tahun depan antara 6.3 peratus dan 7.5 peratus.
Irwan berkata unjuran seperti itu perlu realistik.
"Saya terkejut dengan angka yang disebutkan menteri ini. Siapa yang ramal, Bank Negara atau MOF (Kementerian Kewangan)? Takkan Miti pun buat ramalan ekonomi?
"Bukan nak kritik, cuma biar kita realistik. Jangan main hentam macam Pakatan Harapan," tulisnya di Twitter.
Azmin, bagaimanapun, membalas kembali tweet Irwan.
"Malu komen begini dari bekas KSP. Rujuk laporan Bank Dunia, IMF (Tabung Kewangan Antarabangsa) dan S&P (Standard & Poor)," tweet menteri itu.
Menurut Bank Dunia, KDNK Malaysia dijangka menguncup 3.1 peratus tahun ini tetapi melonjak pada tahun 2021 dengan pertumbuhan 6.9 peratus.
Sementara itu, IMF meramalkan bahawa untuk tahun 2020, KDNK Malaysia akan menguncup 3.8 peratus. Pada awal April, pertumbuhan diunjurkan meningkat tahun depan sehingga 9 peratus.
Peratusan pertumbuhan KDNK biasanya lebih tinggi daripada biasa untuk tahun selepas kemelesetan ekonomi.
Contohnya pada tahun 2009, di tengah-tengah krisis kewangan global, KDNK Malaysia menguncup 1.5 peratus. Pada tahun 2010, pertumbuhan meningkat sehingga 7.4 peratus.
Tahun-tahun berikutnya, pertumbuhan KDNK mencatatkan antara 4.7 peratus dan enam peratus.
Peningkatan ketara berlaku kerana angka pertumbuhan tahunan dibandingkan dengan prestasi tahun 2020, yang berada pada tahap yang lebih rendah.
Namun, ini tidak bermakna ekonomi menunjukkan prestasi yang lebih baik daripada tahun-tahun sebelum kemelesetan ekonomi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai