Skip to main
Logo Malaysiakini

Polis panggil 3 aktivis berhubung demo kematian dalam tahanan

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Tiga aktivis dipanggil polis untuk disoal siasat kerana berucap ketika demonstasi yang diadakan minggu lalu bagi mendapatkan keadilan berhubung isu kematian dalam tahanan.

Menurut ahli PSM, S.Arutchelvam, beliau dan dua yang lain diarahkan hadir di ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pada Isnin depan, jam 11 pagi.

Selain beliau mereka yang dipanggil ialah Pengarah Eksekutif NGO Menghapuskan Kematian dan Penderaan Dalam Tahanan (Edict), Khalid Mohd Ismath dan Jurucakap NGO Tindakan Masyarakat Mengenai Kehilangan Paksaan (Caged), Rama Ramanathan.

“Kami akan hadir,” kata Arutchelvan kepada Malaysiakini sambil menambah pihaknya kini dalam proses untuk melantik peguam.

Ketiga-tiga aktivis itu disiasat di bawah Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012.

Seksyen tersebut menetapkan bahawa penganjur sesuatu perhimpunan yang gagal memaklumkan kepada pihak polis mengenai perhimpunan tersebut boleh dikenakan denda maksimum sehingga RM10,000.

Menurut notis pihak polis yang diserahkan kepada Arutchelvan dan dilihat Malaysiakini, laporan polis dibuat berkenaan demonstrasi itu oleh seorang "pegawai kanan polis", sehari selepas kejadian tersebut.

Ketua Polis Dang Wangi, ACP Mohd Fahmi Visuvanathan Abdullah mengesahkan perkara itu kepada Malaysiakini.

Khamis lalu, Edict mengadakan protes kecil di luar Bangunan Majlis Peguam di Kuala Lumpur.

Mereka berkumpul untuk memperingati mangsa yang meninggal dunia dalam tahanan, mendiang Teoh Beng Hock dan R Gunagesaran.

Jurucakap dalam demontrasi itu turut menggesa pembentukan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC).

Sebelum himpunan, Mohd Fahmi memberitahu Edict bahawa permohonannya untuk berkumpul tidak lengkap kerana gagal mendapatkan persetujuan pemilik atau penghuni tempat perhimpunan, seperti yang dikehendaki di bawah Seksyen 11 Akta Perhimpunan Aman 2012.

Edict juga dimaklumkan bahawa program tersebut telah melanggar prosedur operasi standard (SOP) berhubung perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP).

Bagaimanapun, pihak berkuasa tidak menghalang protes tersebut dan hanya mengawasi acara itu sehingga selesai.