Skip to main
Logo Malaysiakini

KPM digesa jelaskan peruntukan RM1.2 juta didakwa disalur pada sekolah mubaligh

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Persekutuan Majlis Sekolah Mubaligh Kristian Malaysia (FCMSM) mempersoalkan peruntukan RM1.2 juta yang dikatakan telah disalurkan ke sekolah mubaligh.

Ia selepas Timbalan Menteri Pendidikan Dr Mah Hang Soon dilaporkan awal minggu ini mengatakan bahawa sejumlah RM1.2 juta daripada RM50 juta yang diperuntukkan di bawah Belanjawan 2020, telah diperuntukkan untuk sekolah-sekolah berkenaan pada 14 Februari.

Anggota jawatankuasa FCMSM Khor Yong Yin menyorot bahawa semua 438 sekolah mubaligh itu mengatakan bahawa mereka belum menerima peruntukan atau belum ada kontraktor yang menghampiri sekolah tersebut untuk kerja-kerja penyelenggaraan.

Khor mengatakan bahawa dia bertemu Mah pada bulan April untuk membincangkan peruntukan anggaran untuk sekolah-sekolah mubaligh, tetapi menurutnya Mah tidak menyebut tentang sebahagian dari wang yang disalurkan ke sekolah-sekolah bantuan kerajaan itu.

Justeru, Khor menyatakan rasa terkejutnya ketika Mah menunjukkan dokumen untuk membuktikan bahawa wang itu telah disalurkan ke sekolah-sekolah berkenaan.

Khor berkata FCMSM mengemukakan senarai bagaimana RM50 juta diedarkan ke sekolah-sekolah yang diperlukan.

"Dia menerima cadangan kami berhubung RM50 juta. Tetapi dia tidak menyebutkan kementerian telah memperuntukkan sebahagian dana itu," katanya seperti dipetik Sin Chew Daily.

Khor juga berharap peruntukan itu dapat digunakan di sekolah-sekolah batuan kerajaan dan bukannya dirampas dan disalurkan ke sekolah kerajaan.

"Kami melihat sejumlah RM1.2 juta daripada RM50 juta dikeluarkan tetapi kami tidak diberitahu sekolah mana yang menerima wang dan tidak mengetahui proses yang relevan," katanya.

Dia mengatakan bahawa kerajaan harus secara langsung menyalurkan wang tersebut ke dalam akaun bank dewan sekolah dan bukannya mengirimkan wang itu ke jabatan pendidikan negeri.

Kerajaan memberikan RM50 juta setiap tahun dalam tiga tahun terakhir, tetapi RM100 juta setiap tahun dari 2009 hingga 2016.