Skip to main
Logo Malaysiakini

Syed Saddiq minta SPRM diberi ruang jalankan siasatan

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Bekas menteri belia dan sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman meminta semua pihak memberi ruang secukupnya kepada Suruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan terhadap beliau.

Anggota Parlimen Muar itu berkata, SPRM telah menjalankan tugas dengan profesional ketika menjalankan siasatan dan yakin kebenaran pasti akan dapat ditegakkan pada akhirnya.

"Berikan SPRM ruang secukupnya untuk menyiasat. Sesungguhnya, kebenaran akan ditegakkan pada akhirnya “justice will prevail," katanya melalui satu kenyataan hari ini.

Semalam pertubuhan Amanah Teoh Beng Hock Untuk Demokrasi (Amanah TBH) menegur SPRM kerana melakukan soal siasat berpanjangan ke atas Syed Saddiq.

Beliau menghabiskan masa hampir 12 jam di Ibu Pejabat SPRM untuk memberi keterangan berhubung kes kehilangan wang tunai berjumlah RM250,000 pada akhir Mac lalu.

“Kami menegaskan bahawa soal siasat yang tidak perlu dan panjang adalah suatu bentuk penyeksaan psikologi kerana menimbulkan tekanan yang luar biasa, membahayakan kesihatan mental seseorang dan memungkinkan penyalahgunaan kuasa ketika dalam tahanan.

“Soal siasat yang panjang melanggar hak setiap orang untuk beristirehat seperti yang dinyatakan dalam artikel 24 Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat,” kata Amanah TBH.

Menurut Syed Saddiq, semasa disiasat, para pegawai SPRM menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka secara profesional dan menurut lunas undang-undang.

"Malah, saya telah memberi kebenaran untuk sesi siasatan pada 17 Julai 2020 diteruskan selepas waktu bekerja bagi membantu pihak SPRM," katanya.

Mengulas lanjut Syed Saddiq berkata, beliau mengambil maklum kritikan badan itu dan tampil memberi penjelasan mengenainya.

"Saya mengambil maklum dengan kritikan oleh Amanah TBH berkenaan siasatan oleh SPRM terhadap saya.

"Saya juga turut menghargai kesungguhan Amanah TBH dalam memastikan ketelusan SPRM menyiasat," katanya lagi.