Pengarah eksekutif MTE: Pemulihan ekonomi tanpa reformasi sia-sia
WAWANCARA | Ketika rakyat Malaysia bergelut dengan kemelut ekonomi susulan wabak Covid-19, ada satu pasukan di Putrajaya yang memberikan tumpuan sepenuhnya pada harapan di hari depan.
Majlis Tindakan Ekonomi (MTE) diterajui oleh pakar ekonomi Noor Azlan Ghazali, yang pernah menjadi sebahagian daripada majlis seumpama itu sebelum ini, dalam mendepani pelbagai krisis.
Ketika wawancara bersama Malaysiakini di Putrajaya, pengarah eksekutif MTE itu menzahirkan harapannya agar krisis ekonomi yang dihadapi hari ini, dapat memacu reformasi yang tidak menjadi keutamaan pada masa lalu.
“Pemulihan tanpa reformasi, ialah suatu kekakalan. Kesannya tak akan berpanjangan,” kata lelaki 56 tahun itu.
“Isunya, apakah kita akan kembali ke takuk lama, atau kita bergerak ke arah tujuan yang mahu kita cita-citakan itu?”
Pasukan Noor Azlan dibentuk tidak lama selepas pertukaran kerajaan pada Mac dan kini giat menjalankan perjumpaan dengan para pemegang taruh dan merangka kertas dasar untuk dibincangkan pada setiap Isnin.
Pasukan itu turut bertanggungjawab merangka rancangan polisi reformasi ekonomi jangka panjang yang mesti dilaksanakan apabila fasa perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) berakhir.
Kata Noor Azlan, berdepan dengan wabak Covid-19 telah membantu kerajaan, perniagaan dan rakyat untuk sedar bahawa terdapat pelbagai isu sistemik, struktur, perundangan dan budaya yang perlu ditangani.
Desakan wabak Covid-19
Beliau memberi contoh jabatan dan agensi kerajaan sebelum ini bermasalah untuk berhubung antara satu sama lain ada peringkat awal PKP, memandangkan kebanyakan pejabat kerajaan diarahkan tutup.
Katanya, warga pendidik pula tidak bersedia untuk menjalankan kelas secara dalam talian. Isu-isu lain termasuklah sama ada kontrak boleh ditandatangani secara digital atau isu bagaimana transaksi digital yang rumit boleh direkod dalam sistem cukai.
Isu-isu ini, kata Noor Azlan, merupakan sebahagian daripada apa yang digelarnya sebagai “desakan Covid-19”.
Jelasnya, suasana dan keadaan mendesak akibat wabak menggalakkan rakyat, perniagaan dan kerajaan untuk mengenal pasti masalah sedia wujud dalam ekonomi dan mendorong mereka mengguna pakai pemikiran dan teknologi baru untuk maju ke hadapan.
“Perjalanan kita masih panjang. (Tapi) yang baiknya, ada satu desakan. Banyak perkara yang kita fikir akan ambil masa 10 tahun lagi, sedang berlaku sekarang.
“Untuk sekian lama, wujud banyak perdebatan tentang sama ada ahli (akademik) fakulti patut mengajar secara dalam talian.
“Sekarang kampus dah tutup… semua orang tergesa-gesa bagi memastikan yang mereka boleh mengajar secara dalam talian,” kata bekas naib canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu lagi.
Pada skala yang lebih besar, Noor Azlan berkata mengurus ekonomi di waktu yang tidak menentu, samalah ibarat mengawal sebuah bahtera, amat penting untuk memiliki wawasan dan rancangan teliti.
“Mengurus ekonomi ini macam Titanic. Bila kita bercakap mahu beralih untuk mempersiapkan diri untuk revolusi perindustrian 4.0, ia memerlukan rakyat, kemampuan, kapasiti, latihan dan sistem persekolahan untuk berubah menyesuaikan diri, supaya kita dapat hasilkan bakat-bakat yang berkeupayaan.
“Ia memakan masa untuk mencapai hasil yang kita hajati,” katanya.
Kekang ketagihan buruh murah
Dari segi pola fikir, Noor Azlan berkata, cabaran terbesar adalah untuk mendidik rakyat Malaysia dan sektor perniagaan untuk tidak bergantung kepada tenaga kerja asing, menjelaskankos murah itu tidak semestinya bagus.
Katanya, pekerja asing yang bekerja dalam bidang yang tidak diminati oleh rakyat Malaysia, sering kali menjalankan tugas mereka mengikut standard yang tidak menepati norma Malaysia.
“Mereka boleh buat kerja dengan harga separuh lebih murah berbanding (harga) seorang warga Malaysia kerana mereka ada standard yang berbeza. Mereka boleh tinggal 20 orang di dalam satu rumah.
“Saya pernah lihat pekerja pembinaan guna air longkang untuk bancuh simen apabila tak ada air terawat. (Sesetengahnya) tak kisah pun. Mereka guna standard mereka sendiri,” tambahnya.
Noor Azlan berkata meskipun negara terbuka menerima pekerja asing, namun golongan ini mestilah mematuhi standard tempatan dan rakyat Malaysia juga perlulah sanggup untuk membayar harganya.
Baru-baru ini, timbul perdebatan baru berhubung jumlah pekerja asing di negara ini selepas dilaporkan ramai di kalangan mereka hidup bersesak dalam persekitaran yang tidak bersih, menyebabkan penularan Covid-19.
Berdasarkan Jabatan Perangkaan pada 2019 dianggarkan bahawa seorang daripada sepuluh penduduk di Malaysia ialah warga asing - meningkat daripada angka satu per 12.5 pada 2000. Angka sebenar mungkin lebih tinggi kerana statistik itu tidak mengambil kira pendatang tanpa dokumen.
Untuk Noor Azlan, penyelesaian bagi kebergantungan terhadap tenaga buruh asing yang murah ini, adalah apabila perniagaan beralih ke automasi dan menaikkan gaji pekerja tempatan.
“Apabila gaji rendah dan lembap, orang mahu (harga) yang murah dan tak kisah, contohnya tentang keselamatan. Ketika saya tinggal di AS dulu, kalau saya nak panggil tukang paip, harganya mahal kerana lesen, insurans dan standard-standard lain. Bukan sesiapa saja boleh kerja buat paip.
“Kita perlu persiapkan pemikiran dan keupayaan kita untuk menaikkan gaji. Saya percaya, apabila gaji tinggi, orang juga akan tuntut standard (yang sepadan),” tambahnya.
Penilaian semula rantaian bekalan
Tentang skim subsidi upah oleh kerajaan, kata Noor Azlan, pendekatan kini adalah untuk menyasarkan kumpulan rentan (vulnerable groups), iaitu yang golongan berpendapatan RM4,000 ke bawah.
Katanya, Malaysia tidak mempunyai kemampuan untuk skim yang lebih mapan seperti Singapura yang memberi subsidi sebanyak 75 peratus daripada gaji warganya selama 10 bulan untuk mengurangkan kehilangan pekerjaan.
Secara perbandingan, skim subsidi upah Malaysia untuk fasa kedua- sebanyak RM600 untuk maksimum 200 kakitangan- bersamaan 26 peratus daripada gaji median RM2,308.
Noor Azlan menambah, membandingkan Malaysia dengan Singapura adalah sesuatu yang tidak adil, mengambil kira begitu banyak perbezaan antara kedua-dua negara itu.
Beliau juga mengulas mengenai skim pemulihan ekonomi Penjana, yang menyediakan pengecualian cukai tinggi buat pelabur tempatan dan pelabur luar untuk menempatkan semula kemudahan mereka di Malaysia.
Menurut Noor Azlan, langkah itu diambil dengan mengambil kira bagaimana dunia sedang menimbang semula rantaian bekalan global yang sebelum ini berpusat di China.
Disoal tentang negara-negara jiran yang mempunyai program serupa sejak bermulanya wabak Covid-19, katanya, Malaysia mempunyai kelebihan, antara lain, dari aspek bakat, pelepasan pelabuhan yang pantas, kemudahan untuk eskpatriat, dan kemudahan menjalankan perniagaan.
“Saya boleh kata Malaysia agak menarik. Malaysia boleh menawarkan lokasi yang bagus. Saya akui, ada cabarannya. Kalau kamu bercakap dengan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida), masih ada banyak isu.
“Secara dasarnya, kita negara yang mesra FDI (pelaburan langsung asing), kerana bagi kita, pelabur asing ini penting.
“Tak kira apa pun, pelabur tempatan mungkin yang paling penting. Kamu mesti mempunyai kekuatan tempatan kamu sendiri. Perusahaan kecil dan sederhana (SME) boleh membina rangkaian dan kluster. Kita juga perlu bina lebih banyak syarikat tempatan,” katanya lagi.
Andy Heong dan M Fakrull Halim menyumbang untuk artikel ini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai