Skip to main
Logo Malaysiakini

Covid-19: 15 kes baru, satu kematian di Johor

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Kementerian Kesihatan (KMM) memaklumkan terdapat 15 kes baru Covid-19 yang dilaporkan hari ini, dengan satu kematian di Johor.

Kali terakhir kes kematian dilaporkan di negara ini adalah pada 11 Julai lalu.

"Ini menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 8,779 kes. Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 103 kes. 

"Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan," kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah pada suatu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, daripada 15 kes baru yang direkodkan itu, terdapat empat kes import dan 11 penularan tempatan.

Dengan pertambahan kes baru itu, jelasnya jumlah kumulatif kes positif menjadi sebanyak 8,779, manakala kes aktif dengan kebolehjangkitan 103 kes.

“Empat kes import mendapat jangkitan di luar negara melibatkan dua warganegara dan dua bukan warganegara yang dibenarkan masuk ke Malaysia atas urusan kerja dan pasangan kepada rakyat Malaysia. Empat kes import itu dari United Kingdom (dua kes), India (satu) dan Libya (satu).

“Daripada 11 kes penularan dalam negara, lapan kes adalah dalam kalangan warganegara dan tiga kes bukan warganegara Malaysia,” katanyanya lagi.

Dalam pada itu, Noor Hisham berkata korban terbaru Covid-19 itu melibatkan seorang penghuni di pusat jagaan warga emas dan pesakit mula mengalami gejala demam dan batuk pada 10 Julai 2020 serta disahkan meninggal dunia pada 17 Julai jam 12.51 malam.

"Kes kematian ke-123 (kes ke-8770) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 72 tahun yang mempunyai penyakit darah tinggi kronik dan penyakit strok.

"Beliau telah dirujuk ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Johor pada 17 Julai 2020 dan meninggal dunia setibanya di wad kecemasan. Beliau disahkan positif Covid-19.

"KKM mengucapkan takziah kepada ahli keluarga beliau," kata Noor Hisham.

Berkenaan kes penularan tempatan melibatkan rakyat Malaysia, Dr Noor Hisham menjelaskan terdapat lima kes di Sarawak, dan masing-masing satu di Selangor, Sabah serta Johor.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.