Skip to main
Logo Malaysiakini

Agihan kerusi: Buktikan walak pada pemimpin - Naib presiden PAS

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Soal agihan kerusi dalam pilihan raya umum (PRU) ke-15 nanti akan menjadi medan untuk ahli PAS membuktikan konsep walak dan tsiqah kepada kepemimpinan PAS, kata Naib Presiden PAS Ahmad Samsuri Mokhtar.

Katanya, berbeza dengan PRU sebelumnya, PAS kini berada dalam satu permuafakatan politik sebagai kerajaan pusat.

“Apa pun pada peringkat ini, proses perbincangan dan penyelarasan di peringkat atasan sedang berjalan. Persoalan parlimen mana, berapa kerusi dan siapa calon perlulah diserahkan kepada kepimpinan untuk menentukannya.

“Di sinilah konsep walak (ketaatan) dan tsiqah (sepenuh kepercayaan) kepada kepimpinan, terutama kepada presiden PAS akan sama-sama kita buktikan,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian Majlis Mesyuarat Agung PAS Kawasan Dungun semalam.

Menurut Ahmad Samsuri beliau dilantik kepemimpinan PAS pusat sebagai ketua pasukan perunding, untuk membincangkan agihan kerusi bersama Umno dan Bersatu, yang merupakan sekutu PAS dalam Perikatan Nasional (PN).

Bagaimanapun, tegasnya, di Terengganu, keenam-enam kerusi parlimen yang dipegang PAS buat masa ini, akan dipertahankan dengan “sesungguh-sungguhnya”.

“Saya memberikan komitmen, dalam konteks Terengganu kita ini, enam kerusi parlimen itu kita akan kekalkan dan pertahankan dengan sesungguh-sungguhnya,” kata menteri besar Terengganu itu lagi.

Isu agihan kerusi antara sekutu gabungan PN diperkatakan memandangkan ketiga-tiga parti tersebut merebut untuk bertanding di kerusi dengan demografi pengundi Melayu-Islam yang sama.

Sebelum ini, terutama pemimpin Umno dan Bersatu selalu berbalas kenyataan mengenai agihan kerusi, lebih-lebih lagi banyak juga kerusi Bersatu dimenangi atas tiket Umno, sebelum ahli-ahli parlimen berkenaan melompat parti.

PAS dilihat lebih banyak berdiam diri dan tidak terlibat dalam pertelingkahan antara dua parti PN itu.

Pagi tadi, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man menzahirkan keyakinan isu agihan kerusi antara parti komponen PN mampu ditangani dengan baik dan sebarang perbezaan, diyakini dapat diselesaikan secara harmoni oleh Majlis Presiden dan Jawatankuasa Induk Muafakat Nasional.

“Secara prinsipnya kita akan kekal di negeri-negeri yang didominasi setiap parti,” kata Tuan Ibrahim.

Jika pemimpin mula 'pening' dengan kuasa

Sementara itu, Ahmad Samsuri turut meminta ahli PAS memainkan peranan untuk membetulkan hala tuju kepimpinan sekiranya pemimpin dilihat mula “pening” dengan kuasa.

“Sejarah juga telah menunjukkan begitu ramai pemimpin dunia apabila mendapat kekuasaan mula kepeningan bahkan meleburkan fikrah perjuangan Islam yang ada dalam diri mereka.

“Ketika inilah jemaah yang kita berada dalamnya ini, mestilah memainkan peranan untuk membetulkan hala tuju kepimpinan, memandu pentadbiran dan pelaksana agar mengikut fikrah parti yang memerintah atau kerajaan campuran yang bertanggungjawab.”

Tambahnya, berada dalam sebuah kerajaan campuran di peringkat persekutuan menuntut kebijaksaan, apalagi PN terdiri daripada pelbagai latar belakang, ideologi dan rasa hati berbeza.

“Tidak (semua) orang yang berada di persekutuan mempunyai fikrah atau berfikiran sama seperti kita.

“Tidak semua orang memahami dan mendasari perjuangan bersusah-payah berehlah, bermuqayam, bertamrin seperti kita.

“Maka sikap toleransi dan tegas perlu disesuaikan dan ditimbang-timbangkan dengan ilmu dan seninya yang tersendiri supaya akhirnya parti ini menjadi anggota kerajaan yang berkesan dan yang paling penting ialah kita diredai oleh Allah SWT,” katanya lagi.