Skip to main
Logo Malaysiakini

Huazong setuju dengan PM: Iktiraf UEC jika ikut dasar pendidikan kebangsaan

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Persekutuan Persatuan Cina Malaysia (Huazong) bersetuju dengan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin bahawa pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) mesti diselesaikan berpandukan dasar pendidikan kebangsaan.

Presiden Huazong Goh Tian Chuan pada suatu kenyataan hari ini berkata semua pihak perlu mematuhi dasar dan syarat-syarat kebangsaan dalam menyelesaikan masalah berkaitan UEC yang telah lama ditangguhkan.

"Seperti yang dikatakan oleh perdana menteri, kerajaan (Muhyiddin) tidak mengumumkan bahawa mereka mengiktiraf UEC," katanya.

Goh mengulas kenyataan Muhyiddin yang menyebut UEC perlu mematuhi dasar pendidikan kebangsaan jika ingin (perkara itu) dipertimbangkan untuk diselesaikan pada masa depan.

Goh juga menegaskan Huazong tidak menyebut bahawa kerajaan akan mengiktiraf UEC dalam kenyataannya baru-baru ini.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada Muhyiddin, yang menjelaskan perkara itu melalui kenyataan Pejabat Perdana Menteri awal hari ini.

"Perdana menteri menekankan UEC perlu mengikut dasar pendidikan kebangsaan jika ingin (perkara itu) dipertimbangkan untuk diselesaikan pada masa depan.

"Dalam kes ini, mengapa datang hal yang bertentangan bahawa kerajaan dikatakan akan mengumumkan pengiktirafan terhadap UEC," soal Goh.

Beliau berharap penjelasan Muhyiddin dapat menjernihkan kekeliruan yang tidak perlu dan dapat menghentikan kontroversi.

Pada Khamis 16 Julai lalu, perdana menteri mengadakan pertemuan bersama Huazong di bangunan parlimen.

 [Baca berita asal]