MP bidas KPKT atas 'kajian' tak berkesudahan PR1MA
PARLIMEN | Thomas Su Keong Siong (DAP-Kampar) hari ini membidas kerajaan berhubung kajian tiada kesudahan mengenai pengguna yang terpaksa membayar lebih tinggi daripada sepatutnya untuk mendapatkan rumah PR1MA.
PR1MA ialah propgram perumahan mampu milik hasil inisiatif kerajaan.
Bangkit dalam sesi Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat hari ini, Su bertanya mengenai langkah kerajaan mengatasi masalah yang dihadapi oleh pembeli rumah PR1MA.
Katanya bagaimana kerajaan mahu menangani isu berkenaan kerana ada pembeli awal rumah PR1MA menanggung kerugian.
Hal itu berlaku apabila pemaju menurunkan harga kediaman tersebut sehingga 20 peratus, selain pengecualian cukai setem 10 peratus melalui Kempen Pemilikan Rumah (HOC) untuk pembeli terkemudian.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Ismail Abdul Muttalib berkata, kerajaan sedang mengkaji perkara itu, tetapi Su tidak berpuas hati dengan jawapan berkenaan.
“Menteri (Zuraida Kamaruddin) tahun lalu kata sedang kaji untuk selesaikan, sekarang ini lagi tengah kaji. Mana boleh?” kata Su.
Ismail kemudian meminta Su bertenang.
"Kita jangan terlalu agresif. Kita kena mesti kaji, biar hasil daripada kajian itu dapat pulangan yang (beri) faedah kepada kita,” kata Ismail.
Terpulang kepada mahkamah
Ismail selepas itu meneruskan jawapan dengan menyatakan usaha kementerian yang menyediakan perumahan untuk golongan belia. Sekali lagu Su bangkit untuk mencelah.
“Kita cakap (mengenai) pembeli asal... bukan belia. Pembeli asal PR1MA sebelum HOC dijalankan, harga (kemudian) diturunkan 30 peratus.
“Sekarang mereka mengalami kerugian dari segi harga rumah dan juga sedang bayar bank loan (pinjaman bank) yang tinggi," kata Su.
Ismail membalas bahawa beliau faham yang sesetengah pembeli telah membawa perkara berkenaan ke mahkamah dan menyarankan agar Su menunggu proses berkenaan berjalan.
“Bagaimana pun saya akan hubungi YB untuk dapat penjelasan lanjut perkara ini," katanya.
Apabila didesak untuk menyatakan bila kajian berhubung isu tersebut akan selesai, Ismail tidak memberikan sebarang tarikh.
“Terpulang kepada mahkamah,” katanya.
Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Mohd Rashid Hasnon kemudian campur tangan apabila kedua-dua ahli parlimen berkenaan berbalas hujah. Kata Mohd Rashid, mereka berada pada sesi Waktu Soalan Menteri dan bukan perbahasan.
Pada Julai tahun lalu, 1,058 pembeli rumah PR1MA mengemukakan saman terhadap Perbadanan PR1MA Malaysia milik kerajaan.
Peguam mereka, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz, berkata beberapa pemilik mengalami kerugian sehingga RM100,000 kerana pengurangan harga dan pengecualian cukai yang diberikan kepada pembeli terkemudian.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai