Sistem RFID di Plaza Tol di utara bermula Rabu ini
Pengguna kenderaan persendirian di sekitar Kedah serta Pulau Pinang antara Hutan Kampung hingga Sungai Dua berpeluang menikmati sistem laluan khas teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) di sembilan plaza tol masuk dan keluar bermula Rabu ini (22 Julai).
Pengarah Urusan Plus Datuk Azman Ismail berkata pengguna yang melanggan RFID akan dapat menikmati perjalanan lebih lancar menerusi lorong khas RFID di Plaza Tol Sungai Dua, Bertam, Sungai Petani Selatan, Sungai Petani Utara, Surun, Pendang, Alor Setar Selatan, Alor Setar Utara dan Hutan Kampung.
“Kami optimis dengan penerimaan baik daripada pengguna di Pulau Pinang, pelanggan kami di Kedah akan turut berminat untuk mendaftar bagi mendapatkan RFID terutamanya apabila Touch ‘n Go Sdn Bhd (Touch ‘n Go) bersetuju memberikan 1,500 tag RFID secara percuma sepanjang tempoh promosi.
“Bagi membolehkan ini dilaksanakan, beberapa pusat pemasangan RFID di utara turut ditambah,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.
Beliau berkata Plus menawarkan tag RFID percuma (selagi stok masih ada) di pusat pemasangan RFID yang terpilih di Pulau Pinang dan Kedah sahaja serentak dengan kempen #JomRFID bersempena pelaksanaan ujian awam RFID di laluan Hutan Kampung-Sungai Dua.
“Kami menerima sambutan amat menggalakkan daripada pengguna baharu RFID di wilayah utara sepanjang hujung minggu lalu. Saya sangat teruja kerana dengan kerjasama daripada Touch ‘n Go, ia akan membawa kepada pengalaman pembayaran tol lebih pantas, lebih selamat dan akan mengurangkan kesesakan di lorong tol kepada pelanggan kami,” katanya.
Bagi mendapatkan tag RFID percuma, pelanggan perlu mendaftarkan diri sebagai ahli PLUSMiles dan melayari https://jomrfid.plusmiles.com.my untuk menerima kod baucar pemasangan percuma (stok adalah terhad).
Bagaimanapun, sekiranya tag RFID percuma sebanyak 1,500 telah habis, 15,000 pelanggan akan menerima 500 mata ganjaran PLUSMiles apabila mendapatkan tag RFID dengan harga RM35 setiap unit di pusat pemasangan RFID terpilih.
Pada 1 Jan lepas, RFID diperkenalkan di 10 plaza tol Sistem Terbuka (pembayaran tol berdasarkan jenis kenderaan dan dikenakan setiap kali kenderaan melalui plaza tol) iaitu di Plaza Tol Jitra, Lunas, Kubang Semang, Jambatan Pulau Pinang, Mambau, Lukut, Kempas, Perling, Lima Kedai dan Tanjung Kupang.
Sementara itu, Azman berkata perancangan Plus untuk memperkenalkan sistem itu di 84 plaza tol Sistem Tertutup (kadar tol berdasarkan jarak perjalanan serta jenis kenderaan dan pembayaran tol hanya dibuat di plaza tol keluar dari lebuh raya) bermula 1 April lalu, terpaksa ditunda ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung pandemik Covid-19.
Namun, beliau berkata sejak fasa PKP Pemulihan, Plus mula mengadakan pelbagai persediaan untuk melaksanakan RFID.
Plus dan Touch ‘n Go juga akan menambah jumlah pusat pemasangan RFID sementara di sepanjang lebuh raya PLUS terutamanya di R&R Gurun (kedua-dua arah) serta di lain-lain lokasi utama tidak lama lagi.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai