Skip to main
Logo Malaysiakini

MP: Kembalikan Labuan ke Sabah jika pusat tak dapat bangunkan

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

PARLIMEN | Ahli Parlimen Labuan, Rozman Isli meminta kerajaan persekutuan supaya mengembalikan Wilayah Persekutuan Labuan kepada Sabah jika tidak dapat membangunkannya.

Jelasnya, Sabah juga mempunyai keupayaan dan kewangan yang cukup besar untuk membentuk wilayah itu.

“[..] Perlu untuk kita dengar dari kerajaan persekutuan sanggupkah melaksanakan tanggungjawab atau komitmen yang perlu dibuat apabila setuju mengambil Labuan dan dibangunkan seperti yang saya katakan tadi.

“Kalau tak setuju, it’s obvious (cukup jelas). Pulangkan hak-hak dan wang-wang yang perlu diterima kerajaan negeri Sabah.

“Negeri Sabah mempunyai keupayaan dan kewangan yang cukup besar. Labuan tiada masalah, Sabah boleh bangunkan,” katanya ketika perbahasan titah diraja di Dewan Rakyat tadi.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Anggota Parlimen Kimanis Mohamad Alamin (gambar, atas) yang bertanya adakah Labuan bakal bersetuju sekiranya ada gerakan untuk kembali ke pangkuan Sabah.

“Sekiranya berlaku satu gerakan untuk membuat memorandum (oleh) orang-orang Labuan untuk kembali ke pangkuan Negeri Sabah atau keluar dari Wilayah Persekutuan.

“Adakah Labuan setuju dan menyokong langkah itu,” soal Mohamad.

Krisis air terpaksa 'mandi-mandi burung'

Untuk rekod, pada 1984, Sabah memberikan Labuan kepada kerajaan persekutuan.

Labuan kini dikenali sebagai salah satu daripada tiga Wilayah Persekutuan di Malaysia, selain Putrajaya dan Kuala Lumpur.

Labuan diistyiharkan Pusat Kewangan Pesisir Antrabangsa IOFC dan pulau bebas cukai pada 1990.

Sementara itu, Rozman turut menggesa kerajaan khususnya Kementerian Belia dan Sukan serta Kementerian Alam Sekitar dan Air supaya memberi perhatian kepada wilayah tersebut.

Jelas Rozman, Labuan kini menghadapi beberapa masalah antaranya keadaan kompleks sukan yang rosak dan krisis air.

“Kepada YB Menteri Belia dan Sukan (Reezal Merican Naina Merican), sila datang dan lihat kompleks sukan Labuan dan jangan lupa untuk lihat sendiri keadaan kolam renang yang sudah enam tahun rosak.

“[...] Minggu lepas saya cuba mohon beri soalan pada Menteri Alam Sekitar (Tuan Ibrahim Tuan Man) sebab krisis bekalan air di Labuan. Lebih seminggu 85 peratus rakyat Labuan putus bekalan air.

“Dalam keadaan tertekan dengan ancaman Covid-19, mereka terpaksa mandi-mandi burung je. Ramai terpaksa guna air mineral beli dari pasar raya,” katanya lagi.