Skip to main
Logo Malaysiakini

MB T’ganu terajui PAS dalam rundingan agih kerusi PN

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar memaklumkan bahawa beliau akan mengetuai PAS dalam rundingan agihan kerusi Perikatan Nasional (PN) menjelang pilihan raya umum (PRU) ke-15.

Bercakap kepada media, Ahmad Samsuri berkata perjumpaan “tiga parti” tersebut akan diadakan bersama pemimpin PN lain di Kuala Lumpur malam ini.

Dipercayai, tiga parti yang disebutnya itu merujuk kepada Umno-BN, PAS dan Bersatu.

Meskipun masih belum jelas bila PRU-15 akan diadakan, spekulasi bertiup kencang, ia akan diadakan seawal hujung tahun ini.

“Ya. Pertemuan tiga parti … Akan dibincangkan kerusi dan segala persiapan berkaitan kerusi pilihan raya.

“[...] Pihak PAS diketuai oleh saya, selaku naib presiden,” katanya dalam satu klip video yang dimuat naik di Twitternya lewat malam semalam.

Isu agihan kerusi antara sekutu PN sering diperkatakan sejak mereka mengambil alih kerajaan Mac lalu.

Ini kerana, Bersatu, Umno dan PAS sebelum ini bertanding di kerusi dengan demografi pengundi Melayu-Islam yang sama.

PAS dan Umno dilihat bekerja rapat di bawah payung Muafakat Nasional yang ditandantangani September lalu, sebelum Bersatu keluar daripada PH dan membentuk PN bersama mereka.

BN sebelum ini berjaya memenangi enam pilihan raya kecil (PRK) sejak Muafakat Nasional dirasmikan, iaitu di Cameron Highlands, Semenyih, Rantau, Tanjung Piai, Kimanis dan terbaru, di Chini.

Baru-baru ini, Malaysiakini difahamkan bahawa meskipun satu mekanisme pengagihan kerusi telah ditetapkan antara Umno dan PAS, mereka masih tidak dapat memuktamadkan perkara tersebut kerana ada perkara yang tidak dapat dipersetujui bersama.

Sumber mendakwa bahawa ada pemimpin Umno yang tak bersetuju sekiranya Kedah dan Terengganu diserahkan secara bulat-bulat kepada PAS.

Buat masa ini, PAS menerajui pentadbiran tiga negeri iaitu Kelantan, Terengganu, dan Kedah yang dirampas daripada PH Mei lalu.

Sementara itu, seorang pemimpin Bersatu Johor bukan sahaja yakin parti itu dapat mempertahankan kerusi sedia ada pada PRU-15, malah yakin dapat menambah bilangannya.

Ini termasuklah kerusi yang kini dipegang oleh wakil rakyat penyokong Dr Mahathir Mohamad, sebagai pengerusi parti yang dipertikaikan, yang kini menentang PN.

Perkara itu dirumitkan lagi di beberapa kawasan, apabila Bersatu bertanding di bawah PH menentang calon Umno atau PAS.

Ini bertambah kusut, apabila kerusi-kerusi yang dimenangi di bawah tiket BN, namun berpindah tangan ke Bersatu apabila wakil rakyatnya lompat parti selepas PRU-14.

[Baca berita asal]