Moratorium: K’jaan, bank kaji bantuan bersasar, pembiayaan semula
PARLIMEN l Kerajaan dan bank sedang mengkaji lebih banyak bantuan bersasar kepada peminjam selepas moratorium pinjaman berakhir 30 September nanti, termasuklah pilihan pembiayaan semula.
Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata ini memandangkan sebahagian peminjam swasta dan perniagaan kini telah dapat membayar semula pinjaman mereka selepas menjana pendapatan apabila ekonomi dibuka semula pada Mei.
“Langkah seterusnya, (kami) masih berbincang dengan bank (tentang) pertolongan secara lebih tersasar. Satu contohnya adalah memanjangkan tempoh bayaran, mengubah terma dan syarat, mengurangkan kadar faedah dan memberi pelepasan lain,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan tambahan dari Ahmad Maslan (BN-Pontian) tentang sama ada moratorium akan dilanjutkan atau tidak.
Bank telah mengenakan moratorium pinjaman bermula April, sebagai bantuan kepada rakyat yang terkesan oleh wabak Covid-19, dari segi ekonomi.
Tengku Zafrul berkata peminjam dinasihatkan supaya berjumpa dengan bank serta Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) untuk berbincang mengenai pilihan-pilihan yang ada buat mereka.
Ditekan lagi mengenai moratorium, Tengku Zafrul berkata perkara itu masih di dalam perbincangan.
Sementara itu, menjawab soalan berasingan daripada Amiruddin Hamzah (IND-Kubang Pasu), beliau berkata perubahan struktur kabinet di bawah kerajaan Perikatan Nasional tidak akan menyebabkan pertambahan peruntukan.
“Walaupun terdapat kementerian baru yang diwujudkan, seperti bilangan menteri dan timbalan menteri bertambah, tiada peruntukan tambahan yang terlibat memandangkan keperluan perbelanjaan bagi kementerian baru telah diagihkan atau diperuntukkan semula.
Bagi pertambahan jawatan menteri dan timbalan menteri terutamanya di Jabatan Perdana Menteri, katanya, perbelanjaan akan menggunakan peruntukan semasa kementerian terlebih dahulu dan juga menerusi penjimatan.
Penyusunan semula peruntukan kementerian telah dibentangkan untuk bacaan kali pertama hari ini dan akan didebatkan dalam sesi parlimen ini.
Kerajaan PN mempunyai 32 menteri dan 38 timbalan menteri.
Kerajaan terdahulu, PH pula mempunyai 28 menteri dan 27 timbalan menteri.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai