Skip to main
Logo Malaysiakini

'Situasi membimbangkan'

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata peningkatan kes harian Covid-19 kebelakangan ini membimbangkan, dengan 15 lagi kes baru yang dilaporkan hari ini.

"Situasi Covid-19 kebelakangan ini didapati membimbangkan kerana jumlah kes harian yang dilaporkan didapati terus meningkat, terutamanya kes penularan di dalam negara.

"Sebelum ini jumlah kes aktif menurun kepada 63 kes pada 9 Julai, namun ia mula meningkat dan jumlah kes aktif kembali melebihi 100 kes pada 19 Julai dan kini mencecah 130 kes," katanya ketika sidang media di Putrajaya hari ini.

Daripada 15 kes baru hari ini, empat adalah kes import melibatkan tiga warga Malaysia, manakala 11 lagi penularan tempatan, melibatkan 10 warga Malaysia.

Hampir separuh, iaitu lima daripada kes penularan tempatan melibatkan kluster baru di sebuah hospital di Kuching, Sarawak, yang dirujuk sebagai 'kluster Sentosa'.

Tiga lagi kes turut dikesan di Sarawak, melibatkan kluster Pusat Perubatan Kuching, kluster Stutong, dan kes saringan sebuah pusat perubatan yang tidak bergejala dan telah dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak.

Dua lagi kes pula dikesan di Selangor (kes saringan Severe Acute Respiratory Infection, dimasukkan ke Hospital Ampang) dan Sabah (kes saringan Influenza Like Illness, dimasukkan ke Hospital Tawau).

Dalam pada itu, beliau memaklumkan terdapat tujuh lagi pesakit yang sembuh hari ini, menjadikan jumlah kes sembuh kepada 8,562 kes iaitu 97.1 peratus dariapada jumlah keseluruhan kes Covid-19.

Daripada 130 pesakit yang menjalani rawatan, seramai empat orang ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan seorang daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Tiada kematian dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah korban kekal 123 kes, iaitu 1.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

13 kluster baru dalam sepuluh hari

Berhubung kluster Sentosa, Noor Hisham berkata ia dikesan apabila seorang kakitangan kesihatan (pesakit ke-8773) mengalami gejala saluran pernafasan pada 13 Julai lalu dan dikesan positif pada 19 Julai.

"Susulan itu, siasatan dan aktiviti pengesanan kes secara aktif telah dijalankan. Sehingga 21 Julai, 61 orang telah disaring dengan lime positif dan 56 lagi negatif.

"Ini menjadikan kluster ini mempunyai enam kes, iaitu lima petugas kesihatan dan seorang pekerja syarikat pembersihan," katanya lagi.

Noor Hisham berkata lagi, setakat ini terdapat 19 kluster yang aktif dengan 13 daripadanya dikesan sejak sepuluh hari lalu.

Beliau menyambut baik keputusan kerajaan untuk mewajibkan semula perintah kuarantin di pusat kuarantin kerajaan terhadap mereka yang pulang dari luar negara, berbanding kuarantin di rumah sebelum ini.

Menurutnya, sekurang-kurangnya tiga kluster baru bermula daripada kes import.

Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.