Kerajaan tangguh pinda Akta Racun 1958
Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin berkata cadangan pindaan Akta Racun 1952 akan ditangguhkan bagi memberi ruang kepada penubuhan dua jawatankuasa teknikal.
Jelasnya, penangguhan akta itu dibuat supaya undang-undang dan penguatkuasaan berkaitan penanaman tumbuhan psikoaktif termasuk ketum dapat diperketatkan.
"Kita nak melihat kalau sekiranya tumbuhan ketum, hem atau apa saja yang ada unsur psikoaktif ini, mesti diberikan penekanan yang sesuai.
"Apakah betul tumbuhan ini boleh digunakan sebagai kebaikan atau pun ia langsung tak dibenarkan sama sekali,” katanya.
“Oleh yang demikian satu pendekatan yang lebih holistik dan menyeluruh perlu diambil merentasi kementerian,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa bertindak Penguatkuasaan Undang-Undang (JPU) di Dewan Rakyat hari ini.
Ketum telah lama digunakan sebagai perubatan tradisional di Malaysia, namun penyalahgunaannya menyebabkan pihak berkuasa menyarankan pindaan pada Akta Racun 1952.
Sebelum ini, terdapat cadangan memperkenalkan peruntukan lebih ketat bagi mengawal penanaman, penghasilan, pengedaran serta penggunaan ketum menerusi undang-undang serta hukuman yang lebih berat.
Sementara itu, Hamzah berkata terdapat beberapa perkara akan diperincikan menerusi jawatankuasa teknikal yang bakal ditubuhkan.
Hamzah berkata dua jawatankuasa tersebut ialah Jawatankuasa Teknikal dan Jawatankuasa Teknikal Kajian Saintifik dan Komersial yang akan dianggotai oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Kesihatan dan Jabatan Perdana Menteri (Undang- Undang).
Awal Julai ini dilaporkan, sekumpulan saintis Universiti Sains Malaysia (USM) dan Yale School of Medicine sedang menjalankan kajian bagi menilai secara kritikal kesan ketum dalam menahan kesakitan.
Kajian terkawal itu diketuai oleh Pengarah Pusat Penyelidikan Dadah dan Ubat-ubatan (CDR) USM, Prof Dr Vicknasingam dan Prof Dr Marek C Chawarski dari Yale School of Medicine, membabitkan 26 sukarelawan.
Pindaan tak kekang kajian hem
Mengenai tumbuhan hem (ganja rendah kandungan psikoaktif) pula, Hamzah hari ini berkata langkah untuk meminda akta racun dan penubuhan jawatankuasa yang disebutnya itu tidak akan mengekang penyelidikan mengenai tumbuhan itu.
“Perketatkan maksud, apa yang sudah berlaku, kita tak suruh dia henti, tapi nak beri penambahbaikan,” katanya lagi.
Pada 6 Nov 2019, menteri kesihatan PH ketika itu, Dr Dzulkefly Ahmad mengumumkan, kerajaan akan membenarkan penanaman hem daripada spesis cannabis sativa bagi tujuan penyelidikan pihak industri.
Beliau dilaporkan berkata kebenaran itu diberikan bawah Seksyen 6B(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 berkaitan kuasa menteri memberi izin penanaman hem, untuk pengeluaran serat dan biji bagi tujuan bukan komersial.
Timbalan Menteri Kesihatan Perikatan Nasional (PN) Dr Noor Azmi Ghazali pada 10 Julai lalu berkata Kedah antara lokasi yang dikenal pasti kerajaan bagi kebolehlaksanaan penanaman hem untuk tujuan industri dan perubatan.
Dr Noor Azmi menjelaskan kajian juga masih lagi berlangsung kerana belum mendapat benih tumbuhan itu lagi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai