Skip to main
Logo Malaysiakini

Edar dadah, miliki senapang dan peluru: Bekas polis bantuan terlepas tali gantung

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Seorang bekas polis bantuan, yang dijatuhi hukuman mati kerana mengedar 45.5 gram heroin dan penjara tujuh tahun kerana memiliki senjata api serta peluru enam tahun lepas, dibebaskan setelah Mahkamah Persekutuan hari ini membenarkan rayuannya terhadap sabitan dan hukuman.

P Nallini, yang mengetuai panel tiga hakim, membuat keputusan untuk melepas dan membebaskan K Prabhagaran, 45, selepas mendapati sabitan terhadapnya boleh dipertikaikan.

Beliau berkata pertuduhan terhadap Prabhagaran adalah cacat kerana lokasi penemuan tidak tepat dan hakim perbicaraan telah terkhilaf ketika membuat dapatan fakta bahawa kuil yang salah sebenarnya adalah tempat di mana dadah serta senjata api terbabit dijumpai.

Nallini berkata pada akhirnya hakim perbicaraan telah terkhilaf menilai keterangan dan dengan itu, dapatannya adalah cacat serta mewajarkan campur tangan di peringkat rayuan.

"Dalam keadaan seperti ini, sabitan adalah tidak selamat dan tidak boleh dipertahankan. Oleh itu, kami mengenepikan perintah Mahkamah Tinggi serta Mahkamah Rayuan dan perayu dengan ini dilepas serta dibebaskan daripada ketiga-tiga pertuduhan," katanya.

Turut bersidang Vernon Ong Lam Kiat dan Zaleha Yusof.

Nallini juga berkata keseluruhan kes mengguna pakai Seksyen 27 Akta Keterangan 1950 mengenai maklumat yang membawa kepada penemuan eksibit.

Beliau berkata ini timbul daripada kenyataan yang didakwa diperoleh daripada perayu (Prabhagaran) bahawa dia akan mendedahkan di mana dia menyimpan beg yang mengandungi dadah serta senjata api kepada polis.

"Tiada petunjuk mengenai bagaimana atau mengapa perayu membuat kenyataan ini secara sukarela. Keseluruhan asas kenyataan ini adalah bersandarkan kepada kenyataan saksi pendakwaan yang kurang dipercayai serta tidak cukup kuat bagi membuktikan bahawa perayu telah membawa polis kepada penemuan dadah dan senjata api terbabit," katanya.

Prabhagaran, yang diwakili peguam Mohd Radzi Yatiman, dilihat menarik nafas kelegaan apabila Nallini mengumumkan keputusan berhubung rayuannya terhadap perintah Mahkamah Rayuan pada 18 Sept 2018 yang mengekalkan hukuman mati serta penjara yang dijatuhkan terhadapnya oleh Mahkamah Tinggi Johor Bharu pada 29 Ogos 2017 setelah mendapati dia bersalah atas ketiga-tiga pertuduhan.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Nazran Mohd Sham hadir bagi pihak responden.

Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman mati ke atas Prabhagaran selepas mendapati dia bersalah kerana mengedar dadah di sebuah kuil Estet Rem di Kota Tinggi, Johor pada kira-kira 1.20 pagi 16 Sept 2014.

Dua juga dihukum penjara tujuh tahun dengan enam sebatan kerana memiliki selaras raifal AK-47 dan sepucuk pistol jenis Smith & Wesson selain penjara tiga tahun dengan tiga sebatan bagi kesalahan memiliki sejumlah 156 peluru di tempat dan pada masa sama.

- Bernama