Skip to main
Logo Malaysiakini

PAS dalam mural U12

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Sekarang senang jadi PAS. Tidak pernah berbuat atau bercakap apa-apa. Cukup dengan menerima jawatan dari duta sampai ke GLC. Selebihnya, diatur belakang tabir—sebagai konspirasi.

Pada 2011, PAS pernah mendesak kerajaan “mengambil tindakan” terhadap Tugu Negara dan arca sosok Tunku Abdul Rahman yang berdiri di halaman bangunan parlimen. Bagi PAS, keduanya boleh menyebabkan pemujaan—maka ia haram.

Sekarang PAS adalah sebahagian kerajaan. Bukan sahaja kerajaan negeri di Kelantan, Terengganu dan Kedah, tapi kerajaan persekutuan. Tanpa PAS, Perikatan Nasional (PN) boleh tumbang. Begitu besarnya kuasa PAS.

Dengan kuasa penentu itu, PAS tentu sahaja boleh mendesak Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin agar merobohkan Tugu Negara atau arca sosok Tunku. Soal akidah pasti tidak boleh dibuat main-main.

Tugu negara, gambar hiasan

Lebih-lebih lagi, kerajaan ini berdiri atas semangat kerajaan Melayu-Islam. Maknanya, apa juga keputusan perlu berteraskan kepentingan Melayu dan hukum-hakam Islam. Begitulah PAS sejak puluhan tahun berjuang.

Berdasarkan asas-asas ini juga, PAS juga perlu segera mengeluarkan fatwa berhubungi mural potrait Yang di-Pertuan Agong dan wajah orang kenamaan di Seksyen U12, Shah Alam. Mungkin kerajaan Selangor sendiri tidak cukup Islamik untuk melihat dari sudut fikah berhubungi mural berkenaan.

Janganlah pula kerana di dalam mural itu ada wajah Presiden PAS, Hadi Awang, maka PAS menjadi lemah di dalam menegakkan prinsip perjuangannya. Sah-sah semua potrait yang dilukis menyerupai wajah manusia sebenarnya.

Tidak lama selepas potrait U12 itu siap, ia diconteng dan dirosakkan. Apakah PAS dalam diam-diam bersetuju dengan perlakuan merosakan mural berkenaan kerana memperjuangkan hukum agama secara ‘senyap’, bijaksana dan tegas?

Jawapan daripada PAS adalah sangat penting. Bukan sahaja kepada masyarakat umum yang mahu membuat keputusan mengundi PAS di dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang, tetapi juga kepada ahli-ahli PAS akar umbi sendiri.

Dengan cara memberikan pendirian jelas, saya yakin barulah di dalam PRU, PAS dapat mempertahankan undi penyokongnya. Andai PAS terus berdiam durja, wajar dibimbangi PAS bakal kehilangan sokongan teras yang selama ini percaya bahawa parti itu “parti Islam”.

Seni pusaka bangsa

Di sebalik semua itulah, tindakan menconteng dan merosakkan mural U12 telah mendapat kecaman hebat masyarakat. Ia mungkin petanda betapa sudah wujud kesedaran meluas di tengah-tengah masyarakat agar semua karya seni lukis dan seni visual dipelihara sebagai pusaka bangsa.

Orang Malaysia adalah orang yang rasional. Muslim di negara ini nampaknya cukup kental keimanan dan akidahnya sehingga tidak mudah tergugat oleh mural potrait, tugu mahupun arca sosok Tunku. Kita tahu, semua itu bukan benda mulia yang layak dipuja, atau apatah lagi disembah.

Karya adalah karya. Bukan benda sesembahan.

Saya sedari awal memang tidak begitu sedap hati apabila potrait Yang di-Pertuan Agong dibubuh di tembok atau dinding sebelah kedai. Bagi saya sebagai anak Melayu, bangsa kita telah mengajarkan akan sesuatu itu ada tempatnya.

Vendalisme pada mural agong, tokoh dan pemimpin politik

Semulia apa pun ayat al-Quran misalnya, tetap tidak boleh dibawa ke dalam tandas atau bilik air. Melukiskannya lagi tidak dibolehkan.

Begitu jugalah gambaran Raja-raja Melayu. Dan terasa sangat tidak kena juga apabila Yang di-Pertuan Agong diletak sebelah-menyebelah dengan orang politik. Institusi Berada adalah lebih tinggi dari politik.

Ringkasnya, letakkan sesuatu pada tempatnya. Songkok di kepala, dan capal di kaki.

Demikianlah jugalah selepas 54 tahun Tugu Negara, tidak ada orang yang datang memasang colok di bawahnya. Tugu Negara kekal dengan objektif awal pembinaannya sebagai sebuah peringatan ke atas para prajurit yang gugur memperjuangkan kemerdekaan negara. Bukan tokong atau berhala.

Kalau PAS bercadang untuk merobohkkannya kerana kini PAS sebuah kerajaan, perlulah dibuktikan dahulu tugu berkenaan telah menjadi tempat sesembahan. Sekiranya tidak dapat dibuktikan, apakah perjuangan PAS di dalam isu berkenaan selama ini rupa-rupanya hanya dusta, berniat serong dan tidak juga secocok dengan tuntutan Islam itu sendiri?

Di sebalik sikap berdiam durja PAS, pasti orang akan berkata, apabila tidak ada wajah atau potrait pemimpin PAS, maka hasil kerja seni itu diharam-haramkan. Apabila ada wajah pemimpinnya, seperti potrait Hadi dalam mural U12 itu, maka dibiar-biarkan.


HASMI HASHIM atau Budi Hekayat seorang penulis lirik dan otai komuniti Jalan Telawi.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian sidang redaksi Malaysiakini.