Industri sarung tangan: Australia tegaskan pendirian tolak 'perhambaan moden'
Suruhanjaya Tinggi Australia di Kuala Lumpur sedang berhubung dengan pihak berkuasa Malaysia serta pemegang taruh dalam industri getah tempatan berhubung amalan perhambaan moden, pemerdagangan orang dan buruh paksa.
Dalam e-mel kepada Malaysiakini, suruhanjaya tinggi itu berkata kerajaan Australia sejak dulu mengambil pendirian tegas menolak amalan perhambaan moden dalam rangkaian pembekalannya melalui Akta Perhambaan Moden.
Akta tersebut digubal dua tahun lalu.
"Akta ini menghendaki entiti melaporkan tindakan mereka untuk menangani risiko perhambaan moden di semua bidang operasi global dan rantaian bekalan mereka, termasuk risiko yang berkaitan barang yang diimport," katanya menjawab pertanyaan berkaitan tuduhan terbaru mengenai buruh paksa terhadap syarikat pengeluar sarung tangan Top Glove.
Melalui akta itu, entiti yang berpangkalan atau beroperasi di Australia dan mempunyai perolehan terkumpul tahunan lebih A$100 juta (RM299 juta) perlu melaporkan tindakan mereka menguruskan kemungkinan amalan perhambaan moden.
"Kerajaan Australia menjangkakan entiti Australia bekerjasama dengan pembekal di luar negara untuk menangani potensi risiko perhambaan moden," kata suruhanjaya tinggi itu.
Minggu lalu Kastam dan Pengawal Sempadan (CBP) AS menguatkuasakan perintah sekatan terhadap anak syarikat Top Glove, dan ABC News Australia semalam memetik jurucakap agensi itu yang berkata, keputusan itu "berdasarkan bukti yang wajar mengenai buruh paksa dalam proses proses pembuatan" di kilang berkenaan.
"Bukti itu mendedahkan banyak petunjuk bahawa berlaku amalan bercanggah dengan ketetapan Organisasi Buruh Antarabangsa (ILO) berkenaan buruh paksa, termasuk perhambaan hutang, kerja lebih masa yang melampau, penyimpanan dokumen pengenalan diri, dan keadaan kerja dan kehidupan yang menyalahi undang-undang," kata jurucakap itu.
Top Glove mengesahkan perintah sekatan tersebut dan mendakwa ia mereka menyasarkan untuk menyelesaikan isu berkenaan dalam tempoh dua minggu dengan menghubungi CBP, pelanggan dan perundingnya.
"Ada kemungkinan ini berkaitan dengan masalah buruh asing yang telah kami selesaikan, kecuali satu masalah lagi berkaitan pembayaran retrospektif bayaran perekrutan oleh pekerja kami kepada ejen sebelum Januari 2019, yang berlaku tanpa kami sedari," kata jurucakap kilang itu.
ABC News dalam laporannya menyatakan Malaysiakini pada Mei lalu sudah mendedahkan isu berkaitan etika perburuhan Top Glove termasuk termasuk skim yang dilancarkan untuk menyokong permintaan sarung tangan getah yang meningkat ketika wabak Covid-19.
Laporan itu selanjutnya menyebut wakil serantau Pusat Sumber Perniagaan dan Hak Asasi Manusia di Australia, Amy Sinclair, yang mengatakan: "Ini sepatutnya menjadi isu yang benar-benar dekat buat syarikat Australia yang mengimport dari Malaysia, apabila kita tahu bahawa wujud masalah dan kita tahu di sana adalah sejarah amalan buruk."
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai