Skip to main
Logo Malaysiakini

Polis cari lelaki langgar perintah kuarantin di rumah

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Polis Brickfields dalam usaha mengesan seorang lelaki yang melanggar perintah kuarantin di rumah selepas gambarnya di sebuah restoran, dipercayai di Desa Sri Hartamas, tular di mendia sosial.

Seorang pengguna Twitter dikenali sebagai Isaac Osman memuat naik gambar itu hari ini yang menunjukkan seorang lelaki yang memakai gelang kuarantin di restoran itu.

Ketua Polis Daerah Brickfields Zairulnizam Mohd Zainuddin berkata setakat ini belum ada laporan polis dibuat berkenaan perkara itu tetapi usaha mengesan telah dimulakan.

"Tindakan telah diambil untuk mengesan dan mengenalpasti lelaki tersebut.

"Polis Bricfields amat mengalakkan orang ramai agar terus menyalurkan maklumat ke Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) untuk membolehkan tindakan diambil serta merta," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beberapa hari lalu pihak berkuasa berkata sedang mencari seorang wanita yang melanggar perintah kuarantin di Perak.

Terdahulu hari ini, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah mendedahkan seramai 63 orang yang menjalani perintah itu gagal dikesan untuk menjalani ujian kedua Covid-19.

Kegagalan mematuhi perintah kuarantin di rumah antara sebab kerajaan memutuskan mewajibkan semula kuarantin 14 hari di pusat kuarantin kerajaan bagi mereka yang pulang dari luar negara, bermula Jumaat ini.