Monash M'sia sedia kerjasama siasat 'gangguan seksual'
Monash University Malaysia sedia memberi kerjasama berhubung siasatan dijalankan terhadap salah seorang pensyarahnya yang ditahan awal bulan ini kerana disyaki mencabul doktor pelatih.
Pensyarah itu, yang juga aktivis terkenal, telah dibebaskan dengan jaminan sementara polis telah mengambil keterangan dari enam individu mengenai kejadian itu, yang didakwa berlaku di sebuah hospital di Kuala Lumpur, pada 4 Nov 2019.
"Kami komited untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa yang relevan untuk sampai ke dasar masalah ini," kata universiti itu ketika dihubungi.
Ketika ditanya sama ada pensyarah berkenaan masih mengajar di universiti itu, Monash enggan memberi sebarang komen, dengan alasan siasatan sedang dijalankan.
Namun, katanya, universiti itu memberi komitmen untuk memastikan persekitaran kerja dan belajar yang aman yang "bebas daripada tingkah laku yang tidak dapat diterima, termasuk semua bentuk gangguan seksual".
"Kami akan memastikan bahawa setiap individu dalam komuniti universiti dilayan dengan bermaruah, budi bahasa dan rasa hormat," katanya.
Menurut laman web Monash, tertuduh adalah pensyarah kanan dan telah berkhidmat dengan universiti selama hampir dua dekad.
Pengadu: Ahli akademik cium dan meraba saya
Ketua polis Kuala Lumpur, Mazlan Lazim berkata, ahli akademik itu disiasat di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda, atau sebat, atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.
Ahli akademik itu juga merupakan ketua kumpulan pemikir Islam yang terkenal dengan sikap "progresif".
Doktor pelatih, 27, juga merupakan anggota kumpulan pemikir Islam itu ketika kejadian itu berlaku.
Doktor pelatih mendakwa pensyarah itu "mencium dan meraba" dia pada 4 Nov, pada hari pertama di tempat kerja.
Pengadu, yang merupakan lelaki mendakwa dia dicabul selepas individu itu memeluknya setelah mendengar kisah masalah kewangannya ketika belajar di luar negara.
Bagaimanapun, dakwanya, tidak berapa lama kemudian tokoh itu mula bertindak melebihi batas.
Kejadian itu didakwa berlaku di sebuah pusat perubatan di Kuala Lumpur.
Pengadu mengatakan bahawa dia menghantar e-mel kepada pensyarah itu pada 12 November, menuntut permintaan maaf dan peletakan jawatannya dari kumpulan NGO berkenaan.
Dia membuat laporan polis pada 17 Februari dan memaklumkan kepada Malaysiakini dia hanya membuat laporan polis selepas empat bulan kerana mengalami trauma yang panjang.
Pengadu, yang enggan identitinya didedahkan berkata, dia juga bimbang kerjaya perubatannya terganggu susulan pengaruh tokoh NGO itu.
Sejak laporan polis dibuat, individu lain juga tampil mendakwa bahawa pensyarah tersebut turut menganggu mereka secara seksual.
Ketika dihubungi, ahli akademik itu menafikan tuduhan tersebut dan menyifatkannya sebagai berniat jahat dan mendakwa salah seorang individu yang menuduhnya mempunyai alasan untuk menganiayainya berikutan saman di antara mereka.
Awal bulan ini, anggota kumpulan pemikir Islam yang sama menggunakan media sosial untuk menjauhkan diri dari organisasi tersebut, dengan alasan hilangan kepercayaan kepada pensyarah berkenaan.
Malaysiakini tidak mendedahkan nama aktivis tersebut kerana kes itu belum dibawa ke mahkamah, selain melindungi identiti pengadu.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai